KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan parti komponennya, iaitu Umno, MCA dan MIC.
“Kami ambil keputusan BN akan memboikot PRK Port Dickson, ertinya kita tidak akan meletakkan sebarang calon yang mewakili komponen BN atau atas nama BN,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.
Zahid yang juga presiden Umno berkata, PRK itu diadakan hanya untuk memenuhi cita-cita politik pemimpin tertentu.
PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar kembali ke Parlimen.