Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 8 Muharram 1440, Selasa – Desakan supaya kerajaan mengkaji semula undang-undang syariah memberi petanda jelas, wujud satu gerakan tersusun untuk mengubah identiti negara berteraskan Islam kepada liberal demokratik dan sekular.
Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Haji Omar Kassim berkata, mereka yang mendesak perkara seumpama itu terlalu degil untuk menerima hakikat Islam adalah agama persekutuan.
Katanya, mereka berfahaman liberal ini perlu faham bahawa undang-undang syariah seharusnya diperkasakan, bukan dikaji semula.
“Jelas bila dicadangkan pengukuhan rang undang-undang syariah, mereka keras menolak, padahal ia selari dengan kehendak Perlembagaan dan kehendak majoriti umat Melayu Islam negara ini.
“Mahkamah syariah bukanlah satu institusi kelas kedua sebaliknya ia adalah sebuah institusi yang mempunyai kedudukan tersendiri malah telah wujud sebelum wujudnya sistem kehakiman sivil lagi.
“Justeru, apabila Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman atau memberikan apa-apa perintah yang berada dalam bidang kuasanya, ia seharusnya dihormati oleh kesemua pihak.
“Tindakan memperlekeh keputusan Mahkamah Syariah mencerminkan kesalahfahaman masyarakat mengenai amalan dwi-perundangan di Malaysia. Kedua-dua institusi kehakiman syariah dan sivil mengandungi kuasa tersendiri dalam sebagaimana dalam perkara 74 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas desakan Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG), yang mendesak kerajaan mengkaji semula undang-undang Islam, termasuk melaksanakan moratorium terhadap hukuman sebat syariah.
Pertubuhan liberal itu menganggap hukuman syariah bakal menggugat konsep federalisme antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menyelar dakwaan itu Hj Omar berkata, apa yang diperkatakan mereka sebenarnya tiada langsung kaitan untuk menggugat konsep federalisme antara Parlimen dan DUN.
“Saya nak ingatkan mereka. Sayangi Malaysiaku. Ini bererti fahami konsep Perlembagaan, sejarahnya, kontrak sosialnya, hak istimewa orang Melayu, Islam agama rasmi, bahasa Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu.
“Apa yang mereka sebutkan berniat jahat dan inilah perjuangan COMANGO. Mendesak agar inti dan teras Islam dari Malaysia ini dihapuskan.
“Mereka sudah mencabar Perlembagaan dan desakan mereka sekaligus bercanggah dengan tema Sayangi Malaysiaku,” katanya. - ismaweb