Get $25 free
loading...

[ANWAR DICABAR] PAS umum bertanding PRK Port Dickson


MARANG, 26 Sept (Bernama) -- PAS akan meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual 13 Okt depan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pengumuman calon akan dibuat di Port Dickson malam esok.
Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang berkata keputusan itu dibuat atas dasar menghidupkan sistem demokrasi dan mahu rakyat mempunyai pilihan dalam menentukan pemimpin mereka meskipun PRK itu diadakan secara tergesa-gesa.
"Walaupun kita tidak bersetuju PRK ini dibuat secara tergesa-gesa, kita tidak mahu membazir tanpa membuat kerja sekurang-kurangnya kita melatih gerak kerja kita...tidak mustahil kita boleh menang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Harian Jawatankuasa PAS Pusat di sini malam ini.

Mengenai keputusan UMNO memboikot PRK tersebut, Abdul Hadi berkata kerjasama antara dua parti itu tidak akan terjejas kerana melibatkan dua perkara berbeza.

"Kita mengambil kira gelombang PRK Sungai Kandis dan Seri Setia yang menyaksikan kebangkitan rakyat terhadap apa mereka rasa tidak puas hati terhadap PH (Pakatan Harapan) menerusi kedua-dua PRK itu sebelum ini.

"Kita ajak semua parti bekerjasama pada PRK ini. Calon PAS ini orang yang mempunyai pengaruh," katanya yang enggan memberi gambaran mahupun ciri-ciri personaliti calon PAS meskipun diasak pelbagai pertanyaan oleh pemberita.

Beliau berkata PAS sebelum ini memberi laluan kepada UMNO dan MIC bertanding, namun apabila tiada calon dicadangkan, PAS mengambil keputusan untuk tidak memberi kemenangan percuma kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan calon PH bagi PRK tersebut.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding seterusnya menjadi anggota Parlimen.

Selain Anwar dan calon PAS, setakat ini Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga mengesahkan akan meletakkan calon dan seorang lagi calon ialah personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson diadakan pada 13 Okt ini dan hari penamaan calon ditetapkan 29 Sept, manakala hari mengundi awal pada 9 Okt.

-- BERNAMA
Previous
Next Post »
loading...