Get $25 free
loading...

Annuar: Mustapa disiasat polis seminggu sebelum keluar Umno


Datuk Seri Mustapa Mohamed disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) seminggu sebelum beliau membuat pengumuman untuk keluar Umno, kata Tan Sri Annuar Musa.
Menurut setiausaha agung Umno itu, turut disiasat ialah dua lagi pemimpin Umno Kelantan.
"Saya boleh sahkan Umno Kelantan termasuk Tok Pa (Mustapa) disiasat polis 10 hari lalu.
"Beliau terima sejumlah dana yang agak besar dan ia disiasat oleh PDRM," katanya dalam sidang media di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas dari mana sumber dana yang didakwa diterima Mustapa itu.
Sebelum ini anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam membuat dakwaan Mustapa mengambil keputusan keluar Umno setelah diugut Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, kerana menerima danadaripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Lokman mendakwa Mustapa disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tiga hari berhubung dana RM2.6 bilion dan diberi kata dua oleh Daim, sama ada untuk keluar Umno atau dihadapkan ke mahkamah.
Anggapan KJ tersasar
Bagaimanapun, mengulas lanjut Annuar menegaskan tindakan Mustapa itu dibuat bukan kerana siasatan tersebut.
“Namun saya tidak boleh katakan itu (siasatan SPRM) sebab dia keluar. Tidak semestinya. Tidak berani saya kata, awak kena tanya dia sendiri,” katanya.
Dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini, Annuar turut menegaskan dakwaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa tindakan Mustapa keluar parti terjadi kerana anggota parlimen Jeli itu tidak senang dengan kerjasama Umno dengan PAS.
Katanya spekulasi berkenaan adalah tidak tepat.
“KJ ada tweet mengatakan Tok Pa keluar kerana ada kaitannya dengan soal kerjasama Umno dengan PAS, tapi apabila saya semak, KJ tidak bercakap dengan Tok Pa pun lagi. Jadi, ini bermakna KJ membuat spekulasi.
“Saya juga ada versi saya. Saya tahu Tok Pa keluar bukan kerana kerjasama Umno dengan PAS, kerana Tok Pa tidak pernah menolak bahawanya (kerjasama) begitu. Isunya bukan itu. Tidak mungkin dia keluar parti sebab itu sahaja.
“Saya boleh beri penegasan dalam konteks kenyataan KJ itu sudah pastinya tersasar maka ianya hanya satu telahan KJ sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata terlalu banyak sebab kenapa pemimpin Umno hari ini bertindak meninggalkan parti.“
Semua yang keluar ini alasannya tak sama, ada yang keluar memaklumkan mereka ada kepentingan perniagaan dengan kerajaan pusat dan kepentingan itu terlalu besar, maka mereka terpaksa memikirkan keperluan menyelematkan perniagaan mereka.
“Kita hormati setiap keputusan yang dibuat,” katanya.
Selain itu, Annuar turut mengingatkan Umno ketika ini sedang melalui zaman sukar dan memberitahu tidak semua orang boleh berdepan tekanan hebat.
“Sesetengahnya tidak boleh hidup jika tidak ada duit, sesetengahnya pula tidak boleh hidup jika ditekan pihak tertentu, jadi proses inilah yang kita terpaksa hadapi ketika Umno mengalami ujian,” katanya.
Annuar turut mendakwa terdapat banyak tawar-menawar berlaku daripada pihak tertentu untuk membeli pemimpin Umno.
"Banyak tawar-menawar, (dari) pintu depan pintu belakang. Kita tak boleh nak kawal atau nak tambat. Terpulang pada istiqamah masing-masing. - mk
Previous
Next Post »
loading...