Pengguguran kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan membawa kepada wujudnya pelbagai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Pengamal undang-undang, Adnan Seman berkata, jika Guan Eng mahu membersihkan namanya, pendakwaan sepatutnya diteruskan dan biar mahkamah menentukan keputusannya.
Menurutnya, dengan menggugurkan kes tersebut, ia menafikan hak mahkamah untuk mengadili kes itu malah rakyat juga tidak dapat mengikuti perkembangan kes berkenaan yang melibatkan integriti seorang menteri.
“Persepsi itu (Guan Eng) bersalah boleh wujud kalau pendakwaan diteruskan (keputusannya Guan Eng bersalah. Kemungkina salah satu cara nak selamatkan adalah gugurkan kes.
“Mungkin perkara ini akan timbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat. Kalau nak bersihkan nama beliau, sepatutnya pendakwaan itu diteruskan sehingga perbicaraan selesai.
“Keadilan itu bukan sahaja kepada Guan Eng tetapi juga kepada rakyat yang mahu lihat sistem keadilan yang telus tanpa ada sebarang campur tangan politik,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, pengguguran kes itu juga dianggap satu penghinaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini telah melengkapkan kertas siasatan bagi kes tersebut.
“Sudah pasti pendakwaan yang dibuat sebelum ini setelah mengambil kira bukti dan siasatan daripada SPRM. Dengan pengguguran pendakwaan daripada Peguam Negara, ia sebenaranya satu penghinaan kepada SPRM.
“Sebab itu mereka amat terkejut dengan keputusan ini. Kita kena hentikan pendakwaan politik terpilih dan pengguguran kes pendakwaan secara terpilih seperti ini,” ujarnya.
Tegasnya lagi, tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas menggugurkan kes tersebut akan menimbulkan rasa tidak puas hati apatah lagi pelantikannya sebelum ini juga dipenuhi dengan kontroversi.
“Secara prinsip, Guan Eng perlu buktikan dirinya tidak bersalah dalam mahkamah, bukan dengan gugurkan kes.
“Jika benar beliau tidak bersalah dan mendakwa itu merupakan dakwaan politik daripada kerajaan terdahulu seperti dikatakan beliau, sepatutnya kes itu diteruskan.
“Saya pasti dan yakin kalau betul dia tidak bersalah, mahkamah akan buktikan dia tidak bersalah,” ujarnya. - SH