Get $25 free
loading...

TERKINI: FOREST CITY dan SULTAN JOHOR dalam 'perang' MAHATHIR-CHINA


TERKINI: FOREST CITY DAN SULTAN JOHOR DALAM "PERANG" MAHATHIR-CHINA

1. Kontroversi hubungan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dengan China kini terus panas apabila beliau hari ini mengisytiharkan bahawa warga asing tidak akan dibenarkan untuk membeli dan tinggal di kediaman Forest City, Johor. Tindakan ini bakal memberi kesan kepada ribuan pembeli warga China. Malah, projek yang bernilai kira-kira RM400 bilion itu turut melibatkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail.

2. Pemilikan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail dalam projek Forest City dilaporkan wartawan MalaysiaKini, Nigel Aw dalam laporan bertarikh 14 Julai 2014 yang bertajuk ‘The Case of Forest City and the Johor Sultan’ (https://www.malaysiakini.com/news/268649) manakala dalam edisi Bahasa Melayu bertajuk ‘Alkisah Forest City dan Sultan Johor’ (https://www.malaysiakini.com/news/268658).

3. Forest City diusahakan oleh kerjasama China-Johor melalui Country Garden Pacific View (CGPV). Sebanyak 66 peratus pegangan CGPV dikuasai oleh tiga syarikat gergasi China iaitu Country Garden Waterfront Sdn Bhd, Country Garden Danga Bay Sdn Bhd, dan Country Garden Real Estate Sdn Bhd.

4. Baki 34 peratus pegangan CGPV dimiliki Kerajaan negeri Johor iaitu Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.

5. Baginda Sultan Ibrahim merupakan pemilik saham terbesar Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, dengan kawalan pegangan 64.4 peratus syarikat berkenaan. Kerajaan negeri Johor melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) pula hanya menguasai sekitar 20 peratus saham dalam syarikat tersebut.

6. Projek raksasa yang dibangunkan Country Garden Holdings Co. tersebut menyediakan kira-kira 700,000 unit kediaman di mana antara pembeli majoritinya (70%) adalah dari China menerusi skim ‘Malaysia My Second Home’ MM2H.

7. Malah, Tun Mahathir turut menegaskan bahawa tiada sebarang visa akan diberikan kepada warga asing untuk datang dan tinggal di sini. Hal ini bermakna bahawa ribuan pembeli dari China tidak akan dibenarkan untuk mendiami kediaman yang telah mereka beli di Johor.

8. Tindakan agresif Tun Mahathir ini dikaitkan dengan lawatan beliau ke China baru-baru ini di mana beliau telah mengumumkan hasrat untuk membatalkan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip trans-Sabah (TSGP) di Beijing. Kemudiannya Tun Mahathir mengatakan bahawa keputusan akhir pembatalan ECRL tertakluk pada jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada China pula.

9. Adakah langkah ini merupakan tindak balas Tun Mahathir kepada China yang dikatakan enggan mengalah kepada tuntutan beliau ketika lawatan ke sana minggu lalu? Perlu diketahui bahawa ketika lawatan Tun Mahathir ke China, China turut telah menghantar kapal ‘Coast Guard’ mereka ke Zon Ekonomi Eksklusif milik Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengirim dua kapal Kelas Kedah iaitu KD Selangor dan KD Kelantan sebagai reaksi balas.

10. Malah, Tun Mahathir sebelum ini turut mengisytiharkan bahawa ‘Tembok Besar China di Kuantan’ perlu dirobohkan – merujuk pada struktur projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP).

11. Apa yang pasti, tindakan ini bakal memberi impak besar ke atas projek Forest City, imej negara, hubungan Malaysia-China, dan secara khususnya, ke atas hubungan Tun Mahathir dan DYMM Sultan Johor.

12. ‘Pertembungan’ antara Tun Mahathir dengan Sultan Ibrahim pada hakikatnya telah berlangsung secara terbuka sejak awal tahun 2017 lagi apabila kedua-duanya saling berbalas kenyataan. Rujuk Sinar Harian ‘Sultan Ibrahim bidas Tun M’ (http://www.sinarharian.com.my/…/sultan-ibrahim-bidas-tun-m-…) dan ‘Tun M jawab Sultan Johor isu Forest City’ (http://www.sinarharian.com.my/…/tun-m-jawab-sultan-johor-is…).

13. DYMM Sultan Ibrahim mempertahankan projek Forest City sebagai peluang untuk membangunkan hartanah Johor di samping mengatakan bahawa projek berskala 2000 hektar terbabit adalah lot antarabangsa yang terbuka untuk dibeli oleh sesiapa sahaja warga asing – bukannya dari China sahaja – malah tiada beza dengan projek perumahan mewah di Selangor dan Pulau Pinang yang turut dijual kepada warga asing.

14. Tun Mahathir pula mengkritik projek Forest City sebagai menggadai kedaulatan negara dengan anggaran 700,000 warga asing yang membeloi kediaman di sana akan memperoleh kewarganegaraan, sedangkan warga tempatan tidak berkemampuan sama sekali untuk memiliki kediaman tersebut.

15. Selain daripada kebimbangan demografi dengan kemungkinan kemasukan 700,000 warga asing (khususnya China di bawah skim Malaysia My Second Home MM2H), terdapat juga kebimbangan akan impak projek Forest City ke atas alam sekitar dan juga Pelabuhan Tanjung Pelepas.

16. Dari sudut pandang geopolitik, langkah pelaburan infrastruktur dan hartanah besar-besaran di luar negara oleh China ini adalah sebagai pelengkap kepada strategi agung (grand strategy) mereka iaitu Inisiatif OBOR (kini dikenali sebagai BRI): “Kebanyakan projek pelabuhan akan digabungkan dengan penciptaan bandar-bandar satelit gergasi di Johor dan Melaka, seperti Iskandar Malaysia di Johor dan Melaka Gateway yang turut disertakan dengan pelabuhan yang baru dibina. Di Melaka, akan ada empat buah pulau buatan daripada tanah yang ditambak, yang dibahagikan kepada (1) pulau pelancongan, hiburan, dan pembangunan hartanah, (2) pulau zon ekonomi perdagangan bebas, (3) Pulau pelabuhan Melaka Gateway, dan (4) taman perindustrian maritim” (Evers 2017).

17. Hakikatnya, projek Forest City sudah menjadi persoalan sejak tahun lalu apabila kerajaan China mengetatkan pengaliran modal keluar dari negara China – sekali gus memberi impak negatif ke atas pembelian kediaman Forest City dalam kalangan warga China. Ditambah dengan langkah terbaru oleh Tun Mahathir ini, dijangka lebih banyak isu dan permasalahan yang akan timbul.

18. Bagaimana dengan pemilikan kediaman warga asing di Selangor dan Pulau Pinang? Apakah masa depan projek Melaka Gateway? Adakah imej kita akan merosot di mata dunia korporat kerana ‘mengganggu’ persetujuan pembelian warga China di Forest City? Ataukah imej kita akan melonjak dengan laungan ketegasan mempertahankan kedaulatan tanah air?

19. Dari sudut politik dan geopolitik pula, apa akan jadi pada hubungan Malaysia-China selepas ini? Adakah China akan menghentikan projek mereka seperti projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP)? Adakah China akan menghukum kita dengan pampasan yang tinggi dalam kes pembatalan ECRL? Bagaimana pula dengan hubungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Perdana Menteri Tun Mahathir susulan kes terbaru ini?

Semoga Allah peliharakan negara kita menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-61 ini.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Previous
Next Post »
loading...