Naib Presiden PKR, NUrul Izzah Anwar hari ini mengutuk keras pelantikan bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor sebagai fasilitator baru rundingan damai selatan Thai.
“Saya membantah keras pelantikan penyerang ganas seorang lelaki tidak bersalah yang terbaring dengan mata bertutup dan tangan bergari – terbiar tanpa perhatian perubatan selama beberapa hari.”
“Dunia kemudiannya dibohongi mengenai keberadaan dan keadaan mangsa. Persendaan keadilan yang sangat menjijikan,” katanya dalam satu pesanan Twitter.
Rahim, 75, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional(BN) sebelum ini sebagai fasilitator rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai.
Beliau merupakan ketua polis negara pada 1998 apabila bapa Nurul Izzah dan pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan diserang ketika dalam tahanan oleh Rahim sendiri.
Berikutan penahanannya pada 20 Sept 1998, Anwar memeranjatkan rakyat Malaysia apabila muncul di mahkamah dengan mata lebam walaupun sebelum itu Rahim memberi jaminan bekas perdana menteri itu berada dalam keadaan selamat dalam tahanan polis.
Semasa perbicaraannya, Rahim memberitahu mahkamah beliau diprovokasi oleh Anwar. Beliau bagaimanapun didapati salah dan dijatuhi hukuman penjara 2 bulan.
Pada 2005, Rahim meminta maaf atas tindakan itu kepada Anwar dan keluarganya. - FMT