KUALA LUMPUR - Pas kini sedang memperkukuhkan Unity Opposition (UO) dengan parti pembangkang lain dalam menghadapi beberapa siri PRK sebelum PRU15.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, parti itu yakin kecerdikan politik yang ditunjukkan mereka akan terus menghantui PH.
“Sememangnya lawan politik Pas mahu supaya Pas dan parti pembangkang lain terus bercakaran dan bertelingkah, maka dalam masa yang sama mereka boleh mencedok untung berganda ganda lipatnya dan terus menang selesa dalam pilihan raya. Sementara pembangkang terus menggigit empat puntung jarinya.
“Kecerdikan politik Pas ini, setelah mengekalkan pemerintahannya di Kelantan dan mengambil alih kerajaan Terengganu serta menambah kerusi di Pahang dan meraih 18 kerusi di Parlimen akan terus menghantui PH.
Kini memperkukuhkan UO dalam menghadapi beberapa siri PRK sementara menjelang PRU15 membuatkan PH tidak senang duduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ‘team’ pembangkang mesti diperkukuhkan untuk menghakis ego pemerintah yang dilihat membawa kemudaratan besar kepada agama, rakyat dan negara jika dibiarkan.
Mengambil contoh kerjasama Pas dengan Umno di PRK Sg Kandis dan PRK Seri Setia, Nasrudin berkata, ia berlaku tanpa sebarang perjanjian politik yang mengikat antara kedua-duanya.
Manakala, katanya, Pas menyatakan sokongan kepada MCA di PRK Balakong atas semangat pembangkang.
“Sudah pasti keputusan dibuat ini berdasarkan pertimbangan politik semasa yang difahami daripada Fiqh Muwazanat (Feqah Timbangan Membuat Keputusan) dan Feqh Al Waqi’ (Feqah Realiti).
“Kemenangan pembangkang dalam PRK ini, meskipun tidak merubah kerajaan negeri, tetapi mampu membentuk kekuatan dalam kalangan koalisi pembangkang di Dun Selangor. Kekuatan tersebut boleh dimanfaatkan sebagai institusi semak imbang dan menjadi pembangkang yang konstruktif,” katanya. - SH