1. Ini adalah sebahagian contoh berita yang tidak dilaporkan dengan tajuk yang betul oleh pihak Free Malaysia Today (FMT).
Saya tidak tahu adakah ianya berlaku kerana tidak amanah, atau kejahilan, atau niat yang tidak baik untuk menimbulkan provokasi terhadap rukun Islam ke-5 ini atau persepsi negatif terhadap tokoh ilmuwan dunia tersebut.
2. Mereka yang jenis malas membaca dan hanya baca tajuk sahaja, atau mereka yang tidak menyukai tokoh ini kelihatan ramai yang mengecam Dr. Yusuf al-Qaradhawi (DYQ) kerana dianggap telah merendah-rendahkan amalan haji atau umrah yang sangat besar kelebihannya.
3. Menurut laporan portal tersebut, DYQ berkata: “Allah menganggap umat Islam yang memberi makanan kepada orang kelaparan, merawat orang sakit dan memberi perlindungan kepada gelandangan lebih baik daripada membelanjakan wang untuk menunaikan haji serta umrah SETIAP TAHUN”.
Kata kunci “SETIAP TAHUN” itu ditinggalkan pada tajuk yang pastinya membawa makna berbeza dan implikasi negatif.
4. DYQ hanya mengecam mereka yang sudah pernah menunaikan kewajipan hajinya dan mempunyai banyak wang, namun hanya digunakan untuk kepentingan diri sendiri iaitu haji atau umrah berkali-kali dan meninggalkan penggunaan wangnya untuk kepentingan pihak lain yang lebih memerlukan seperti orang miskin dan sakit yang tidak mencukupi keperluan mereka.
5. Ada di sana mereka yang Allah uji mereka dengan nikmat kekayaan. Saban tahun wangnya digunakan untuk “menyucikan diri” dengan ke Makkah menunaikan haji atau umrah.
Namun tatkala wangnya ditagih untuk keperluan agama atau saudaranya atau umat, tangannya begitu berat sekali menghulurkan, hatinya begitu bakhil sekali seolah-olah berpisah dengan anak sendiri.
Wangnya mudah dikeluarkan untuk diri sendiri berkali-kali tawaf mengelilingi Ka’bah dan sa’ie antara bukit Safa dan Marwah, namun jiran dan keluarga sendiri yang sudah banyak kali tawaf mengelilinginya dan sai’e ke rumahnya memohon hajat tidak dipedulikan.
6. Allah SWT memuji kaum Ansar sebagai mukmin yang berjaya, walaupun diri mereka dihimpit kesusahan dan kesempitan hidup, namun mereka tetap membantu kaum Muhajirin yang baru berhijrah ke Madinah dan mengutamakan saudara-saudara mereka itu lebih dari keperluan diri atau keluarga sendiri.
Firman Allah:
وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡہِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمۡ حَاجَةً۬ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِہِمۡ خَصَاصَةٌ۬ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), SESIAPA YANG MENJAGA SERTA MEMELIHARA DIRINYA DARIPADA DIPENGARUHI OLEH TABIAT BAKHILNYA, MAKA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA” [al-Hasyr: 9].
7. Ramai orang kaya menganggap amalan haji atau umrah yang sukar dilakukan kerana faktor fizikal, jarak, masa dan perbelanjaan itu adalah antara kemuncak atau semulia-mulia amalan yang dikejar, sedangkan bersedekah adalah amalan mudah buat mereka yang pasti menjadi penyesalan kelak jika dipinggirkan.
Hanya hati yang menjadi penghalang!
8. Ramai yang masih tidak menyedari bahawa bersedekah merupakan amalan yang “people will crazy to do so” dan "addicted" jika diberi “umur kedua” kerana besarnya ganjaran yang disediakan, namun tatkala itu tiada guna lagi bercita-cita sedemikian kerana kesempatan dan rezeki yang Allah telah berikan sebelum ini disia-siakan.
Allah mengingatkan:
وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَـٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ۬ قَرِيبٍ۬ فَأَصَّدَّقَ
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah” [al-Munafiqun: 10].
9. Kenyataan DYQ ini mengingatkan saya pada sebuah kisah yang berlaku pada seorang tokoh ilmuwan agung dahulu: Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181 h) yang terkenal sebagai ahli hadis yang kaya-raya dan selang setahun menunaikan haji.
Suatu ketika dalam perjalanan haji, salah seorang rombongan Ibn al-Mubarak membuang seekor burung mati ke tong sampah, lalu Ibn al-Mubarak terlihat seorang kanak-kanak perempuan lari mengambil bangkai burung tersebut, membalutnya dan berlari memasuki khemah.
Ibn al-Mubarak mengikutinya dan bertanya alasan akan perbuatannya itu. Jawab si gadis:
“Kami dah berhari-hari terpaksa makan bangkai sejak ayah kami dirompak dan dibunuh. Kami tiada apa nak makan”.
Ibn al-Mubarak kemudian bertanya pada pembantunya: “Berapa yang kita ada?”.
Jawabnya: “1000 dinar” (sekitar RM 700 ribu).
Kemudian Ibn al-Mubarak memberikan arahan: “Kita ambil/simpan 20 dinar (sekitar RM 14 ribu), dan berikan selebihnya pada gadis ini (kira-kira lebih RM 680 ribu).
Kita balik ke rumah kita di Maru this time lebih baik dari menunaikan haji”.
Ya, beliau sanggup memberi 98% harta yang dibawanya dalam salah satu kembara hajinya kepada satu keluarga yang sangat memerlukan di pertengahan jalan, dan kemudian berpatah balik “cancel” hajinya pada tahun tersebut dengan penuh gembira kerana dapat membantu mengubah kehidupan 1 keluarga berbanding manfaat buat dirinya semata!
Betapa pada zaman ini kita sangat mendambakan KEFAHAMAN seperti ini!
-Dr. Kamilin Jamilin-