Get $25 free
loading...

[INI RESPON MUKHRIZ MAHATHIR] PH Bergolak, PKR Mahu Kerusi MB Kedah


ALOR SETAR: Pelantikan jawatan Menteri Besar adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri, sekali gus membolehkan sesiapa sahaja menjadi pemimpin nombor satu di sesebuah negeri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata beliau menyerahkan kepada sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri bagi menentukan siapa yang layak menjawat jawatan yang dipegangnya ketika ini.
"Saya hanya menurut perintah dan arahan dari kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri yang memiliki kuasa prerogatif membabitkan jawatan Menteri Besar.
"Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul itu...ia adalah komen peribadi beliau dan terpulanglah kepadanya. Kerana sebelum ini, tiada sebarang perbincangan mengenai perkara yang dibangkitkan beliau.
"Namun, saya ingin tegaskan kami semua sepenuh hati menyokong keputusan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri. Ia selaras dengan ketetapan sebelum ini bahawa selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, maka Anwar akan menjadi Perdana Menteri," katanya yang ditemui selepas meninjau persiapan Pasukan Bola Sepak Kedah (KFA) di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Mentaloon, di sini, petang tadi.
Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas kenyataan Johari yang sanggup menawarkan kerusi Parlimennya kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, sekali gus memberi bayangan kemungkinan berlaku perubahan terhadap kepemimpinan di Kedah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Badan Perhubungan Parti Pribumi Melayu Malaysia (BERSATU) Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid menempelak sikap Johari yang dilihat cuba melanggar Perjanjian PH yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, selepas semua parti sudah diagihkan negeri untuk dipimpin.
"Sudah disepakati bahawa Kedah, Perlis, Perak dan Johor diberikan kepada BERSATU dan PKR memimpin Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.
"Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak diserahkan kepada DAP manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) diberikan Kelantan, Terengganu dan Melaka.
"Saya ingin ingatkan sahabat lama saya itu bahawa jangan mengambil kesempatan dari pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan nanti. Kenyataannya itu mengejutkan BERSATU dan sepatutnya Johari tidak membuat kenyataan seumpama itu," katanya. - BH
Previous
Next Post »
loading...