Ujar seorang pengguna Facebook, Mohd Aznawi, dia meragui isu kebebasan akhbar yang digembar-gemburkan kerajaan Malaysia Baharu (Pakatan Harapan).
“Kata Malaysia Baharu meraikan kebebasan akbar agar pemikiran anak-anak muda Melayu bangkit dan sedar seperti anak-anak muda bangsa lain.
“Tetapi buktinya, masih lagi takut dengan Utusan Malaysia walaupun pelajar tidak membaca akhbar dan melayarinya secara online,” katanya ketika memberi maklum balas terhadap artikel ‘Langganan Utusan di semua agensi Kementerian Pendidikan, sekolah, universiti dihenti’.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Facebook, Pak Chad berpendapat penasihat tidak mempunyai kuasa eksekutif.
“Kalau iya pun, biarlah Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) yang keluarkan pekeliling.
“Janganlah sampai ‘penasihat’ jadi ‘punahsihat’,” ujar Pak Chad.
Seorang lagi pengguna Facebook, Aza Malek juga mengeluarkan pendapat yang sama mempersoalkan bidang kuasa Wan Jan.
“Penasihat sahaja sudah boleh buat keputusan keseluruhan Kementerian Pendidikan? Hebat.. Tak mengapa, Utusan Online kami langgan pula,” balasnya.
Surat pekeliling pembatalan bertarikh 18 Julai yang ditandatangani Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan tular dalam media sosial setelah ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas. – UTUSAN ONLINE