Permohonan itu difailkan peguam mewakilinya di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.
PUTRAJAYA: Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Asheeq Ali Sethi Alivi memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung tindakannya mencabar tindakan tatatertib dikenakan terhadapnya kerana menyertai perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1 pada 2016.
Permohonan itu difailkan peguam mewakilinya di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.
Dalam permohonan itu, Asheeq Ali memohon Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tentang 4 persoalan undang-undang, termasuk sama ada Peraturan 3 dan 13 Peraturan-peraturan Universiti Kebangsaan Malaysia (Disiplin Pelajar) 1999 bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Pada 18 Oktober 2016, Asheeq Ali, 22, berkata dia diberi sepucuk surat oleh UKM, memaklumkan dia dikenakan pertuduhan mengikut Peraturan 3 dan 13.
Pada 15 November 2016, UKM mendapati pelajar itu bersalah serta mengenakan denda RM200 dan menggantung pengajiannya bagi 1 semester.
Berikutan itu, Asheeq Ali memfailkan saman pemula terhadap UKM bagi menuntut perisytiharan bahawa Seksyen 15 (3) (b) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Peraturan 3 serta 13 Peraturan-peraturan UKM (Disiplin Pelajar) tidak menghalang pelajar universiti daripada mengamalkan hak mereka dari segi kebebasan bercakap dan menyuarakan pendapat serta berhimpun secara aman tanpa membawa senjata di luar kampus mengikut Perkara 10 (1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.
Dia juga memohon perisytiharan prosiding tatatertib diadakan mengikut Rang Undang-undang 2 Disiplin Pelajar 2016 oleh UKM terhadapnya melanggar undang-undang.
Pada 28 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Asheeq Ali itu.
Rayuannya pula ditolak Mahkamah Rayuan pada 22 Februari tahun ini.
Comments
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini