LONDON: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, bertemu ketua gereja Anglican di London semalam dan berjanji akan mempromosikan dialog antara agama dalam kempen reformasi negaranya, kata pejabat pemimpin agama Kristian British itu.
Putera Mohammed dalam lawatan rasmi ke London untuk mempromosikan Arab Saudi sebagai ekonomi modenisasi dan bertoleransi, dan untuk membina hubungan dagang dan pelaburan lebih luas dengan Britain, sekutu pertahanan jangka panjang negaranya.
Pada hari penuh ke-2 dalam jelajah asing pertamanya sejak menjadi pewaris takhta Saudi tahun lepas, Putera Mohammed bermesyuarat dengan Menteri Kewangan Philip Hammond, para pengurus bank dan penggubal undang-undang, dan akan menghadiri makan malam bersama Perdana Menteri Theresa May.
Syarikat gergasi minyak Saudi Aramco juga menandatangani urus janji awal dengan Royal Dutch Shell untuk mengejar peluang-peluang gas asli di peringkat antarabangsa. Britain dan Amerika Syarikat bersaing untuk memikat Saudi Aramco kerana saham yang menguntungkan.
Putera Mohammed memulakan harinya dengan lawatan simbolik bertemu Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby, yang juga ketua bagi berjuta penganut Kristian Anglican Communion seluruh dunia di Istana Lambeth, London.
“Putera mahkota menunjukkan komitmen kuat untuk mempromosikan perkembangan masyarakat daripada tradisi kepercayaan berbeza, dan dialog antara agama di dalam dan luar kerajaannya,” kata kenyataan daripada Istana Lambeth.
“Ketua biskop itu juga berkongsi kebimbangannya berkenaan had yang dikenakan ke atas amalan keagamaan Kristian di Arab Saudi dan mengetengahkan kepentingan pemimpin daripada semua kepercayaan untuk menyokong kebebasan beragama atau kepercayaan, dengan mempelajari pengalaman United Kingdom.”
Arab Saudi tidak bertoleransi dengan orang bukan Islam yang mengamalkan kepercayaan mereka di khalayak, memaksa penganut Kristian beribadah di kediaman peribadi agar tidak ditangkap.
Konflik Yaman
Putera Mohammed dan Welby melihat teks-teks awal kepercayaan Kristian, Islam dan Yahudi, termasuklah petikan daripada manuskrip Al-Quran yang disimpan di perpustakaan Universiti Brimingham yang ditemui pada 2015, dipercayai antara tertua di dunia.
Awal minggu ini, Putera Mohammed bertemu Paus Gereja Koptik Tawadros II di gereja Koptik terbesar di Kaherah, Mesir dalam usaha menyingkirkan reputasi kerajaannya sebagai pengeksport Islam jenama ultra konservatif.
Welby juga menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan di Yaman, menurut kenyataan itu. Satu gabungan tentera yang diketuai Saudi sedang berperang di Yaman yang mana 10,000 orang sudah terkorban dan 8.3 juta lagi kini terpaksa bergantung pada bantuan makanan.
Theresa May mungkin akan berkongsi kebimbangannya terhadap situasi kemanusiaan di Yaman di majlis makan malam nanti. Kerajaan May dikritik hebat kerana meluluskan AS$6.35 bilion (RM24.84 bilion) jualan senjata kepada Arab Saudi.
Kritikan terhadap perang di Yaman dan kekecohan tunjuk perasaan memberi gambaran yang berlawanan dengan sambutan baik yang diberikan kerajaan Britain kepada putera Saudi itu.
Pada Rabu, Putera Mohammed bertemu Ratu Elizabeth untuk majlis makan tengahari dan kemudian bertemu May untuk bersetuju meletakkan sasaran meningkatkan hubungan dagang dan pelaburan sebanyak AS$90 bilion (RM352.13 bilion).
Seorang jurucakap kerajaan berkata Putera Mohammed bertemu menteri kewangan semalam, dan 2 sumber lain mengatakan satu mesyuarat bersama Ketua Eksekutif Kumpulan Standard Chartered, Bill Winters, dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, John Flint juga diadakan.
lagi info di : Gosip Artis Terkini