Ketua umum kerajaan Myanmar itu didakwa gagal mengunakan kuasanya dan demikian membenarkan tindakan pasukan keselamatan Myanmar.
PETALING JAYA: Sepasukan peguam di Melbourne, Australia memfailkan permohonan pendakwaan persendirian terhadap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang kini berada di Australia, atas dakwaan jenayah kemanusiaan, lapor akhbar British, The Guardian.
Namun, permohonan pendakwaan persendirian menghendaki persetujuan peguam negara Australia sebelum dibenarkan.
Dalam permohonan itu, ketua umum kerajaan Myanmar Suu Kyi dituduh melakukan jenayah kemanusiaan kerana mengusir atau menghantar penduduk secara paksa berhubung pencabulan hak asasi besar-besaran yang sedang berlaku di negara itu.
Kenyataan daripada pasukan peguam itu berkata terhdapat “laporan saksi yang meluas dan berwibawa tentang jenayah besar dan terancang terhadap penduduk Rohingya beragama Islam oleh pasukan keselamatan Myanmar” seperti penahanan tidak sah, kehilangan, keganasan, rogol, pembunuhan dan pemusnahan harta benda dan perkampungan.
Suu Kyi sebelum ini menafikan peristiwa-peristiwa ini berlaku, namun media melaporkan lebih 650,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos tahun lepas bagi menyelamatkan diri daripada keganasan di negeri mereka.
“Suu Kyi didakwa gagal menggunakan kedudukan dan kuasa yang ada padanya, dan demikian, membenarkan pasukan keselamatan Myanmar mengusir dan mengeluarkan orang Rohingya dari rumah mereka.”
Bekas hakim persekutuan, Ron Merkel QC, peguam antarabangsa Marion Isobel dan Raelene Sharp, peguam hak asasi manusia Alison Battison dan Daniel Taylor memfailkan permohonan itu di majistret Melbourne semalam.
The Guardian melaporkan permohonan sedang dinilai mahkamah dan jawapan dijangka diperoleh minggu depan. Satu permohonan rasmi juga dihantar ke pejabat Peguam Negara Christian Porter meminta mengizinkan prosiding itu.
Suu Kyi berada di Australian untuk menghadai sidang khas Asean-Australia anjuran kerajaan Australia di Sdyney.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu lepas berkata, keganasan sistematik terhadap etnik Rohingya dan minoriti agama di wilayah Rakhine memperlihatkan “ciri-ciri penghapusan bangsa.”
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini