Get $25 free
loading...

Tender bekalan air Kudat siap April atau Mei ini

Menteri Tugas-tugas Khas Teo Chee Kang berkata rekaan untuk 2 projek bekalan air di Kudat sedang dimuktamadkan.

Teo Chee Kang berkata penduduk kampung terpaksa menjalani hidup tanpa air terawat sejak bertahun-tahun. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Proses tender bagi 2 projek pembekalan air yang sekian lama tiada penyelesaian di daerah utara Sabah, Kudat akan disiapkan pada April atau Mei ini, kata Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Seri Teo Chee Kang.

Teo berkata beliau berjumpa Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Borhan Dolah Jumaat lalu.

“Saya gembira diberi pengesahan bahawa reka bentuk (untuk 2 projek itu) telah dimuktamadkan,” kata Teo hari ini.

“Proses tender bagi kedua-dua projek itu akan disiapkan menjelang April atau awal Mei tahun ini, dan kerja pembinaan akan bermula tidak lama selepas itu.

“Selain mengucapkan terima kasih kepada ketua setiausaha, saya juga menekankan agar 2 projek ini mesti diletakkan sebagai kepentingan utama kerana penduduk kampung kekurangan air terawat bertahun-tahun lamanya.”

Kedua-dua projek itu sebahagian daripada usaha kementerian meningkatkan bekalan air ke kawasan luar bandar.

Salah satunya melibatkan pemanjangan sistem paip air ke Kampung Limau-Limauan, yang juga meliputi Kampung Parapat Laut, Kampung Malaman dan Kampung Milau.

Yang lain adalah projek membekalkan air ke Kampung Suangpai.

Teo berkata penduduk kampung kecewa kerana tidak dapat menikmati air terawat dari pili walaupun perkampungan itu terletak berdekatan loji rawatan air dan empangan Milau.

“Saya sebenarnya membangkitkan isu ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri dan mencadangkan projek sebegini sepanjang penggal pertama saya sebagai penyokong kerajaan.

“Bagaimanapun, air paip hanya dipasang sehingga ke satu bahagian Kampung Malaman dan tidak ke kampung-kampung lain.”

Adun Tanjong Kapor berkata beliau ada membuat semakan dengan Unit Perancang Ekonomi Pejabat Perdana Menteri pada Mac tahun lepas.

“Saya diberi jawapan bertulis bahawa RM21,000,000 sudah diluluskan dan dijangka akan melalui proses tender pada Oktober 2017.

“Saya sangat kecewa proses tender itu masih belum selesai, lebih-lebih lagi penduduk kampung.

“Saya masih ingat menteri berkenaan, Ismail Sabri Yaakob (Datuk Seri), juga mengumumkan projek ini akan diluluskan semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno Kudat tahun lepas.”

Bagi Kampung Suangpai pula, penduduk kampung masih terputus bekalan air kerana tekanan tidak cukup kuat untuk mengatasi kedudukan di tempat tinggi, katanya.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk membina satu stesen tekanan air, tangki air, dan tangki pengimbangan, dan juga memperluaskan rangkaian pengedaran air.

“Apabila saya membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan tahun lepas, saya diberitahu projek RM10,000,000 itu boleh bermula pada Disember 2017.”

Masalah bekalan air luar bandar sangat didebatkan oleh Barisan Nasional (BN) dan pemimpin pembangkang di Sabah.

Pemimpin BN menuduh bekas menteri pembangunan luar dandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal gagal menyediakan bekalan air di pedalaman Sabah.

Tetapi presiden Parti Warisan Sabah itu menafikan tuduhan mereka.

Beliau menegaskan kementeriannya menjalankan tanggungjawab membekalkan prasarana bekalan air, dan kerajaan negeri sebenarnya bertanggungjawab membekalkan air.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...