Get $25 free
loading...

Kes Jong Nam: Pegawai polis gelar 4 lelaki Korea Utara pembunuh

Wan Azirul Nizam berkata beliau mengklasifikasikan mereka sebagai pembunuh kerana keempat-empat lelaki itu terlibat dalam kes berprofil tinggi tersebut.

Gambar Reuters

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau mengklasifikasikan 4 lelaki rakyat Korea Utara yang masih bebas sebagai pembunuh dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA Asisten Supritendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata beliau mengklasifikasikan mereka sebagai pembunuh kerana keempat-empat lelaki itu terlibat dalam kes berprofil tinggi tersebut.

Beliau berkata mereka ialah Hong Song Hac, 35, (Mr Chang), O Jong Gil, 56 (James), Ri Ji Hyon, 34, (Mr Y) dan Ri Jae Nam, 59, (Hanamori).

Saksi ke-9 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Naran Singh, yang mewakili warganegara Vietnam, Doan Thi Huong, 29, pada hari ke-36 kes perbicaraan tertuduh dan rakyat Indonesia, Siti Aisyah, 26, yang didakwa bersama-sama 4 lelaki yang masih bebas, membunuh Jong Nam, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari 2017.

Terdahulu, Wan Azirul Nizam ditanya oleh Naran Singh bagaimana beliau menggelarkan keempat-empat lelaki Korea Utara itu.

Naran Singh: Kamu menggelarkan empat orang ini sebagai penjenayah, pembunuh atau pengkhianat?

Wan Azirul Nizam: Saya menggelarkan mereka suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian ini.

Naran: Pendek kata, kamu kata mereka ini sebagai pembunuh?

Wan Azirul Nizam: Setuju

Bagaimanapun, Wan Azirul Nizam tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa siasatannya tidak lengkap tanpa rakaman percakapan keempat-empat lelaki itu.

Beliau berkata rakaman percakapan mereka tidak dapat dilakukan bagi mengetahui peranan masing-masing dan kedua-dua tertuduh wanita berkenaan dalam kes itu.

Mengenai tindakan lanjut diambil olehnya, saksi itu berkata beliau mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menangkap kesemua suspek setelah tidak mendapat kerjasama pihak Kedutaan Korea Utara.

Sementara itu, ketika disoal peguam Salim Basheer yang turut mewakili Doan, Wan Azirul Nizam berkata beliau membuat siasatan terhadap percakapan Doan bagi memastikan percakapannya benar.

“Saya ada membuat perbandingan terhadap percakapan Doan dengan percakapan saksi lain dalam kes ini selain membuat pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian yang dikatakan tertuduh ada melakukan ‘latihan’ untuk membuat serangan itu,” katanya.

Mengenai rakyat Korea Utara, Ri Jong-chol, yang ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan kes berkenaan, Wan Azirul Nizam yang mengklasifikasi lelaki itu sebagai suspek, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam iaitu dia sepatutnya dituduh di mahkamah.

Salim: Setujukah sebelum Ri dihantar pulang, kamu boleh mengambil keterangan dia sebagai saksi mahkamah?

Wan Azirul Nizam: Setuju

Ri adalah pemilik kenderaan Naza Ria yang digunakan untuk membawa 2 suspek Korea Utara itu dari klia2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas Jong Nam diserang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung pada 2 April ini.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...