Rakyat harus bersyukur kerana Barisan Nasional menyediakan rumah kos rendah, rumah mampu milik dan kemudahan lain.
KUALA LUMPUR: Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar menyeru pengundi supaya menghargai jasa Barisan Nasional yang banyak menyediakan kemudahan kepada rakyat dengan memangkah “dacing” pada hari pengundian nanti.
Beliau berkata rakyat harus bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan menterjemahkan penghargaan itu melalui peti undi.
“Nak ucap terima kasih bukan susah. Tak sampai 5 minit. Bila nak undi itu tengok lambang ‘dacing’ dan pangkah sahaja,” katanya di satu majlis Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Sesuai dengan portfolionya, Noh Omar kemudian berkata penyediaan rumah kos rendah dan rumah mampu milik antara contoh BN membela rakyat.
Beliau mengambil contoh Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang diberi subsidi melebihi 50% daripada nilai sebenar harga rumah.
Setiap unit PPR berkeluasan 700 kaki persegi, mempunyai 3 bilik dan bernilai paling kurang RM150,000. Ia ditawarkan kepada rakyat yang layak pada harga RM35,000.
“Kita boleh jual dengan harga lebih rendah dari nilai pasaran kerana dasar dibuat perdana menteri untuk tolong rakyat memiliki rumah sendiri. Tahun ini dalam Bajet 2018, perdana menteri peruntukkan RM2.2 bilion untuk bantuan perumahan melalui pelbagai agensi.
“Ini bermakna siapa dapat rumah PPR, bak kata Datuk Seri S Subramanium, macam kena loteri subsidi RM150,000. Bulanan hanya RM124 sahaja dan siapa duduk PPR tidak perlu pinjam bank,” katanya.
Beliau menambah subsidi yang ditanggung kerajaan sahaja tidak mampu ditandingi kutipan GST.
“Kalau kita bayar GST 10 tahun pun tak dapat cover jumlah ini,” katanya, dan mengingatkan kerajaan juga mempunyai pelbagai projek perumahan lain seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan skim rumah pertama untuk golongan muda.
“Kalau menteri-menteri luar negara pun boleh hargai jasa kerajaan BN tolong rakyat, tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak boleh hargai kerana kerajaan BN banyak tolong selesaikan masalah rumah rakyat,” katanya.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini