Get $25 free
loading...

Air percuma, insentif RM500 ibu bersalin antara manifesto PAS Selangor

PAS Selangor turut menawarkan bantuan tambang bas sekolah, insentif yuran tahunan PIBG dan penubuhan Akademi Pasca Tahfiz dalam manifesto mereka.

PAS Selangor melancarkan manifesto 10 teras bertemakan “Selangor Sejahtera” hari ini.

SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang merangkumi 10 teras, termasuk meneruskan pemberian air percuma, insentif RM500 untuk wanita bersalin dan bantuan tambang bas sekolah.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi ketika melancarkan manifesto bertemakan “Selangor Sejahtera” itu berkata, 10 teras itu melibatkan aspek kesejahteraan, iaitu berkerajaan, beragama dan budaya, pendapatan, pendidikan, wanita dan keluarga, anak muda, kesihatan, ekonomi tani, kediaman dan alam sekitar.

Katanya, di bawah teras kesejahteraan wanita dan keluarga, PAS Selangor menjanjikan 4 perkara termasuk insentif RM150 kesihatan dan keanggunan wanita; insentif RM500 untuk wanita bersalin; bantuan dan khidmat bimbingan keharmonian perkahwinan dan kesejahteraan rumah tangga serta bantuan kelangsungan hidup ibu tunggal.

Bantuan tambang bas sekolah, insentif yuran tahunan persatuan ibu bapa dan guru; pendidikan percuma bagi sekolah milik kerajaan negeri; Akademi Pasca Tahfiz serta mewujudkan skil penjawatan guru dan kakitangan sekolah kerajaan negeri terkandung dalam teras kesejahteraan pendidikan.

Sallehen berkata, pemberian air percuma kepada rakyat Selangor akan diteruskan jika PAS berjaya memerintah negeri itu.

“Kita akan teruskan pemberian air percuma dengan penambahbaikan terhadap program yang dilaksanakan kerajaan sedia ada yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga adun Sabak Bernam yakin manifesto PAS Selangor mampu menarik pengundi.

“Kita berbincang, kita merangka (manifesto) atas keperluan semasa yang dilihat pada rakyat dan keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran (menjadi) negeri maju.

“Kita rangka untuk pastikan supaya kita dipilih dan disokong rakyat, kita mengharapkan sokongan rakyat. Kalau kita nak lihat adakah rakyat akan sokong kita ataupun tidak, kita tunggu PRU nanti.”

Mengenai calon menteri besar PAS, katanya, calon yang diturunkan parti itu berkeupayaan dan layak memimpin kerajaan negeri, tetapi perkara itu hanya akan ditentukan selepas PAS menang di Selangor.

“Semua calon yang kita letak kali ini layak jadi menteri besar disebabkan kita janjikan calon baik dan ditapis Majlis Syura dari pelbagai sudut.

“Kita berkeyakinan kita akan menang dan terpulang pada tuanku untuk pilih, sebab semua berkeupayaan.

“Ke-2, kita tak calonkan (menteri besar) dahulu sebab kita nak cara beradab dan sopan. Biar kita memang dulu baru ditetapkan.”


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...