Sebuah kisah dikongsikan di sebuah laman sosial ini menceritakan kisah yang mengenangkan kembali kenangan hari perkenalan si gadis bernama Syer bersama tunang yang paling disayangi sehingga muncul satu lembaga yang menyerupai wajah tunangnya.
Tett… Tett… Tett…’
Aku membuka mata. Tangan dihulur ke arah jam digital yang sedari tadi asyik berbunyi. Aku bangun. Dalam keadaan mamai aku berjalan ke arah tingkap dan membuka langsir seluasnya.
Di luar masih lagi belum menampakkan silauan matahari. Tetapi keadaan jalanraya sudah pun sesak oleh manusia yang berpusu-pusu untuk ke pejabat.
“Baru pukul tujuh pagi. Rajin sangat masuk office awal, tapi gaji tetap ciput.” Aku merungut.
Aku melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri. Selesai mandi, aku mengenakan kemeja berwarna putih dan skirt paras lutut. Rambut aku biarkan lepas. Wajah aku disolek ringkas kerana kulit aku yang agak cerah tidak memerlukan makeup yang tebal.
Sudah selesai, aku merenung diri aku yang berada di dalam pantulan cermin. Sangat berbeza gayaku dari zaman belajar dulu berbanding sekarang. Hijab pun entah ke mana. Baju kurung juga sudah tiada lagi dalam kamus hidup aku. Kejutan budaya mungkin. Aku mengeluh.
‘Ah! Kau sendiri yang memilih jalan ni. Jangan pernah menyesal dengan keputusan kau.’ hati aku memberontak. Keras sungguh hati aku.
Aku mencapai tas tangan di atas meja solek. Sebelum keluar, aku sempat mengerling ke arah gambar yang tergantung di dinding bilik.
Hadif. Dia merupakan tunang yang paling aku sayang. Malangnya dia telah meninggal dunia kerana membunuh diri. Sudah setahun pemergiannya, namun rasa rindu dan perasaan cinta aku padanya tersangat dalam.
Aku mendekati gambar Hadif. Sangat kacak, dan dia juga baik hati. Aku mengusap ‘wajah’nya lalu aku mencium. Rindu. Terlalu rindu. Kerana kematiannya aku berubah begini. Menjadi seorang yang hilang pedoman.
Aku mengetuk pintu pejabat yang tertera nama Adam Faiz, bos aku.
“Masuk!” Aku membuka pintu lalu masuk ke dalam pejabatnya.
“Mr. Adam. Your schedule today is… lunch meeting with Encik Fattih Aman from Zenith Sdn Bhd, and site visit in Damai City at 2 p.m. That’s all.” Aku menutup diary. Ya! Aku bekerja sebagai secretary.
Adam mengangguk namun matanya masih melekat pada fail di tangan. Khusyuk benar gamaknya.
“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu.” Aku berpusing untuk keluar.
“Wait…” Adam bangun dan berjalan ke arah pintu pejabat dan menguncinya. Kemudian dia bergerak ke arah aku. Pinggang aku dirangkul. Sebelah tangannya lagi bermain dengan rambut aku.
“I miss you, Syer…” Adam mendekatkan wajahnya.
“Behave, Adam. Kita kat dalam office.” Aku menolak lembut badannya. Segera aku menjarakkan diri.
Selain menjadi bos aku, Adam juga merupakan kekasih aku. Bagi aku, Adam cuma dijadikan sebagai bank. Tak lebih dari tu. Namun aku ada motif lain. Kalau diikutkan, sesen pun aku tak hadap.
“Malam esok macam biasa. This time, I’ll pick you up…” Aku memicit hidungnya sambil memberikan senyuman nakal lalu aku berjalan keluar.
Aku menghempaskan punggung di kerusi dan bersandar. Aku memandang kosong ruangan pejabat yang aku duduki sekarang. Sudah hampir setahun aku bekerja di sini. Semuanya kerana aku ingin menjayakan kerja aku. Tidak susah mana rupanya nak memikat Adam. Hanya menggunakan sedikit godaan, terus jatuh ke tangan aku.
Sedang aku mengelamun, telefon bimbit aku berdering. Aku tersenyum melihat nama yang tertera. Benjamin. Aku segera angkat.
“Hello dear. Lunch sekali hari ni?” Benjamin memulakan perbualan.
“Boleh jugak. Tapi I nak makan western food hari ni, boleh?” Aku membuat suara manja. Sudah semestinya dia akan layu.
“Sure, dear. Nanti I datang ambil you, okay?”
“Tak payah. Hari ni I rasa nak drive sendiri. Kita jumpa kat sana la ye?”
“Okay dear. Love you. Muah…” Dia mula mengeluarkan suara gatalnya.
“Orite, see ya…” aku menamatkan panggilan. Tersenyum apabila mengingat kembali suara Benjamin tadi.
Benjamin. Kekasih kedua aku. Berumur 30-an. Sangat caring pada wanita. Dia pernah bekerja di syarikat yang sama dengan Adam dan sekarang dia berpindah ke cawangan lain. Dia ada satu tabiat yang pelik, iaitu suka memakai jaket labuh paras lutut. Apa dia ingat dia tu Chow Yun Fat? Heh!
“Ma ha chan… chan reiyk khun… Ma ha chan… chan reiyk khun.” Aku menyebut perkataan siam itu berulang kali. Sambil tangan aku memerah limau ke atas kemenyan.
Muncul satu satu lembaga yang menyerupai wajah Hadif. Aku tersenyum. Inilah wajah yang sentiasa aku rindu.
Jelmaan Hadif menghulurkan tangan ke arah aku. Aku bangun dan menyambut hulurannya. Aku memasang cd pada radio. Butang play ditekan dan lagu kegemaran kami dimainkan.
“Malam bulan dipagar bintang… Makin indah jika dipandang… Bagai gadis beri senyuman… Pada bujang idaman…”
Ah! Lagu ini sentiasa menjadi kegemaran kami. Lagu nyanyian P. Ramlee dan Saloma ini sering dinyanyikan oleh Hadif suatu ketika dahulu
Kemerduan suara Hadif membuat aku makin jatuh cinta padanya. Sememangnya kami penggemar lagu-lagu klasik.
Kami menari bagaikan berada di sebuah taman yang indah sambil menikmati kemerduan lagu yang diputarkan.
“Apakah kau mahu aku bersamamu selamanya?” Jelmaan Hadif mengajukan soalan pada aku.
Aku mengangguk laju. “Aku mahu kau ada dengan aku sampai ke akhir hayatku.”
“Jadi… Kau harus menunaikan janjimu…” Jelmaan Hadif hilang di dalam kegelapan malam. Aku terpinga. Belum puas lagi aku ingin melepaskan rindu.
Aku mengeluh kasar. Aku harus cepat menjalankan misi aku untuk terus bersama dengan Hadif. Ah! Memang cinta itu buta. Buta sehinggakan aku tidak dapat menerima kematian Hadif.
Hari ini seperti biasa, aku menjalankan tugas aku. Dan hari ni aku tekad. Aku akan jalankan misi aku dengan secepatnya. Sudah setahun aku menunggu saat ini.
“Sayang… jangan lupa malam ni. I ambil you pukul 8 okay.” Aku mengucup pipi Adam. Tersenyum dia. Dia cuba memeluk aku namun aku menghalang. Segera aku keluar dari pejabatnya.
Pada malam itu, sebelum aku menjalankan misi, aku membawa Adam ke beberapa tempat untuk makan dan enjoy. Aku ingin memberinya peluang untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya.
Tepat pukul 12 malam, aku berhenti di satu kawasan hutan yang sunyi. Aku menarik handbrake dan tanganku mula menyeluk ke dalam poket seluar untuk mengeluarkan pisau lipat.
“Syer… what are we doing here? Don’t tell me that you want to do ‘it’ here…” Adam tersenyum nakal sambil matanya memandang ke segenap tubuh aku.
Aku senyum menggoda. Aku merapatkan tubuh aku pada Adam. Baru saja Adam mahu memeluk tubuh aku, aku terus mengelar leher Adam. Darah memancut ke muka aku dan beberapa tempat di dalam kereta.
Adam aku lihat sedang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Aku tersenyum puas. Puas kerana rancangan pertama aku berjaya. Adam cuba memanggil aku, namun lama-kelamaan badannya menjadi kaku.
Aku memandang mayat Adam dengan pandangan kosong. Langsung tiada rasa simpati. Aku keluar dari kereta dan berjalan ke sebelah penumpang. Aku keluarkan mayat Adam dan mengheretnya ke sebuah pondok kecil yang ada di situ. Mayatnya aku tinggalkan di situ.
Aku menghembuskan nafas lega. Satu sudah selesai. Tinggal lagi satu, iaitu Benjamin. Aku menuju ke kereta. Aku membersihkan kesan darah yang terpercik. Selesai sahaja kerja aku, aku terus meninggalkan tempat kejadian. Berharap supaya aku tiada siapa yang menjumpai mayat Adam di situ.
Hari ini merupakan hari terakhir aku bekerja di sini. Aku meletakkan surat berhenti kerja di atas meja Adam walaupun aku tahu dia memang takkan membacanya. Lagipun, buat apa lagi untuk aku terus berkhidmat dengan orang yang sudah mati?
Aku memandang sekeliling pejabat milik Adam. Mahu mengimbau kembali kenangan aku bersama dengannya. Kenangan? Heh! Aku tersenyum sinis. Kakiku melangkah keluar dari pejabat.
Pada waktu tengahari, aku menjalankan misi yang kedua. Setelah berjanji dengan Benjamin, kami setuju untuk berjumpa di Pavilion. Kami menghabiskan masa di sana dengan menonton wayang, makan dan shopping.
Petang itu aku membawa Benjamin ke tempat yang sama sewaktu aku membunuh Adam. Memandangkan dia adalah mangsa terakhir aku, aku membenarkan dia untuk bercumbuan denganku.
Setelah keadaan Benjamin yang aku lihat semakin ghairah, aku menjalankan misi aku. Aku mengelar leher Benjamin. Dia menggelupur. Dia cuba untuk lari keluar dari kereta namun aku sempat menghalang lalu aku menikam dadanya. Darah usah dicakap, habis terpercik sana sini.
Akhirnya Benjamin kaku di tempat duduk kereta. Sekali lagi aku menghembuskan nafas lega. Aku ketawa kecil. Semakin lama ketawaku semakin kuat. Aku mengheret Benjamin keluar dari kereta dan bawanya ke pondok kecil di mana aku tempatkan mayat Adam.
Aku meletakkan Benjamin di sebelah mayat Adam. Aku tersenyum sinis. Aku duduk bersila sambil memandang dua mayat di hadapan aku.
“Korang tahu tak, kenapa aku bunuh korang?” senyap. Tiada jawapan. Aku ketawa kecil.
“Korang tahu ke tak??!!” aku melengking. Kaki aku menendang mayat Benjamin dan Adam.
“Korang mesti lupa kan apa yang korang dah buat?” Aku berbicara seperti orang gila. Kemudian aku termenung. Mengingati kembali kisah kematian Hadif.
Setahun yang lalu…
Aku mendapat satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali. Aku menekan butang hijau lalu aku dekatkan ke telinga. Aku mendengar sahaja apa yang dikatakan oleh pemanggil. Tangan aku mula menggigil. Telefon terlepas dari tangan.
Aku terduduk lemah. Aku keliru. Antara percaya atau tidak. Aku mendapat khabar bahawa Hadif dijumpai mati tergantung di dalam bilik tidurnya. Makin lama esakanku kedengaran. Aku meraung. Tidak! Aku tak percaya!
Setelah jenazah Hadif dibawa ke tanah perkuburan, aku mendekati ibunya. Kami berpelukan sambil melepaskan tangisan. Ibunya menghulurkan sebuah buku pada aku. Mungkin diary arwah Hadif.
“Simpanlah nak. Ini sahaja kenangan yang tinggal antara kamu dengan Hadif.” Aku menyambut lalu aku memeluk erat diary itu.
Malam itu, aku membaca diary Hadif. Segala kenangan kami dari hari perkenalan hinggalah ke hari terakhir kami berjumpa dicoretkan di dalam diary. Aku tersenyum. Mengingati kembali saat indah bersamanya.
Aku melangkau muka surat. Berkerut dahi aku membaca.
11 November 2016
Aku tak sangka. Kawan yang aku anggap baik sanggup menuduh aku. Sedangkan mereka tahu, bukan aku yang menyeleweng duit syarikat.
Aku menekup mulut. Hadif tak pernah beritahu aku tentang hal ini. Patutlah dia kelihatan berserabut semasa kali terakhir kami berjumpa. Aku menyelak lagi.
15 November 2016
Arghh! Tak guna kau Benjamin. Sanggup kau jadikan aku kambing hitam! Kaulah yang menggelapkan duit syarikat. Tapi aku tidak punya bukti. Akhirnya aku yang dituduh. Sial!
25 November 2016
Aku tidak mahu hidup lagi! Adam mahu menyerahkan aku pada polis. Aku tak nak masuk penjara! Tak guna kau Adam! Kau lebih percayakan bangsat tu dari aku. Aku takkan maafkan korang berdua!
Tarikh itu merupakan tarikh terakhir coretan Hadif. Aku menutup diary. Air mata aku menitis. Aku genggam penumbuk. Kematian Hadif tidak terbela. Tak guna korang berdua! Aku akan kembalikan Hadif dalam hidup aku.
Malam itu, aku berjumpa dengan Nek Zah untuk mendapatkan mantera. Nek Zah menghulurkan satu kain putih yang ditulis dengan dakwat hitam di atasnya. Aku melihat ayat yang tertulis tetapi aku langsung tidak memahami maksud perkataan itu.
“Ayat itu bermaksud… Datanglah kepadaku. Aku menyerumu.…” Nek Zah bagaikan mengerti tingkah laku aku yang terkial-kial untuk memahami ayat dari bahasa Siam itu.
“Untuk menghidupkan kembali kekasihmu, bawalah mayat yang telah menganiaya kekasihmu, kuburkanlah mereka bersama kekasihmu dan bacakan ayat ini. Jangan lupa untuk titiskan darahmu ke atas kubur itu.” Nek Zah menerangkan pada aku. Aku mengangguk.
Nada dering telefon menghentikan lamunan aku. Aku mengeluarkan handphone dari poket seluar. Segera aku angkat panggilan tersebut.
“Dah settle.” suara lelaki kedengaran.
“Okay. Bawa dia ke sini.”
“Beres.” Aku menamatkan panggilan. Sekarang ni aku hanya perlu menunggu mereka membawa mayat Hadif ke sini.
Hampir setengah jam juga menunggu, akhirnya mereka sampai. Aku menyuruh mereka menggali lubang untuk aku menempatkan kesemua mayat-mayat ini.
Lubang sedalam hampir 7 kaki dikorek. Aku menyuruh orang suruhan aku untuk meletakkan mayat ke dalam lubang dan kambus semula. Selesai tugas mereka, aku hulurkan 8 ribu ringgit setiap orang.
“Hal sini, habis kat sini.” mereka mengangguk lalu mereka beredar meninggalkan kawasan hutan.
Aku memandang sekeliling. Suara unggas mula kedengaran. Diselangi dengan bunyi burung hantu. Langit pun semakin gelap. Aku duduk di tepi kuburan itu. Aku mengeluarkan kain yang tertulis mantera dari poket seluar dan aku hamparkan di atas tanah.
Aku mengusap tanah yang berbukit itu. “Hutang darah dibayar darah. Kekasih yang hilang akan diganti semula.” Aku tergelak kecil.
Aku mengambil pisau lipat dan aku kelar tapak tangan. Darah mengalir keluar. Aku titiskan di atas kubur mereka.
“Ma ha chan… chan reiyk khun… Ma ha chan… chan reiyk khun.” Aku menyebut perkataan itu berulang kali.
Tiba-tiba muncul angin kencang. Suara unggas pula bersahutan. Aku masih lagi mengulangi perkataan keramat itu.
Muncul satu tangan dari dalam tanah. Semakin lama semakin menampakkan susuk tubuh yang sangat aku kenali. Aku tersenyum. Dia menghulurkan tangan dan aku menyambut. Aku membantunya keluar dari timbunan tanah.
Kami berpegangan tangan sambil merenung mata masing-masing. “Hadif, sayangku… Mulai saat ini tiada siapa yang akan pisahkan kita.”
“kita akan bersama selamanya…” Hadif senyum menyeringai. Wajahnya terkopak seperti disiat. Matanya hitamnya kecil. Namun dimataku, dia Hadif yang biasa aku lihat dulu.
“Kekasih sehidup semati…” Kami berpelukan.
Kami mula meninggalkan kawasan hutan itu. Sebelum melangkah pergi, aku sempat berpaling ke arah kubur yang tidak bertanda itu. Aku tersenyum sinis.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini