Suspek yang berasal dari Gelang Patah itu didapati positif dadah jenis methapitamine.
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang berhasrat melarikan kereta jenis Ferrari milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diberkas selepas menceroboh Istana Bukit Serene.
Berita Harian melaporkan suspek berusia 31 tahun dikesan menceroboh masuk ke kawasan istana melalui pintu pagar East Lodge, Jalan Straits View sekitar jam 12.15 tengah hari semalam.
Ketika kejadian, hanya seorang anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) mengawasi pintu pagar tersebut.
Suspek yang memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah bagaimanapun tidak berhenti dan terus masuk ke dalam istana menggunakan kereta Proton Waja.
Semasa di garaj, seorang kakitangan istana melihat kelibat suspek yang masuk ke dalam kereta Ferrari warna biru dalam keadaan mencurigakan sebelum kakitangan terbabit segera menarik kunci kereta berkenaan.
Setelah gagal, suspek kemudian berjalan ke keretanya sebelum memecut kenderaannya melalui laluan sama dimasukinya.
Polis yang menerima maklumat kejadian menjalankan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), berhasil memberkas suspek.
Hasil saringan ujian air kencing, suspek yang berasal dari Gelang Patah, Johor itu positif dadah jenis methamphetamine .
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Khader Mohd mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Comments
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini