Get $25 free
loading...

Tok Mat Hasan calon paling sesuai lawan Anwar di PD


Apabila pada 28 April lalu, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytihar menang tanpa bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, menjelang hari pembuangan undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Sehingga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu, S Streram – yang gagal mengemukakan kertas penamaan calon pada masa ditetapkan – menuduh rakyat Malaysia akan menyaksikan pilihan raya paling kotor dalam sejarah negara.
Banyak lagi tuduhan yang dilemparkan ‘cybertrooper’ kedua-dua pihak sama ada PH atau BN. Masing-masing dengan bahasa dalil masing-masing – menyerang, bertahan, menyerang.
Apapun, ia telah berlalu. PRU14 pada 9 Mei menjadi catatan sejarah apabila tumbangnya kuasa BN selepas memerintah negara selama lebih 60 tahun.
Lalu, bermulalah edisi baharu apabila Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi diangkat sebagai Perdana Menteri ke-7, menepati janji dan kesepakatan empat parti gabungan DAP, PKR, Bersatu dan PAN, sementara Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kesepakatan dalam PH juga menetapkan Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun, akan menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas beliau dibebaskan dengan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.
Anwar mendapat pengampunan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51, 16 Mei lalu. Beliau sepatutnya dibebaskan pada 9 Jun lalu, selepas menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor berikutan disabitkan kesalahan dalam kes liwat II.
Pada 11 Mei, ketika mengumumkan pembebasan Anwar, Dr Mahathir ditanya sama ada Anwar akan menyertai barisan Kabinet sejurus dibebaskan, berkata, proses itu mengambil masa yang agak lama kerana Anwar perlu menjadi Ahli Parlimen yang juga akan memakan masa lama.
Namun, Anwar tidak mengambil masa lama, sebaliknya tidak sampai empat bulan selepas PRU14, beliau bakal kembali ke Dewan Rakyat. Itupun jika menang di kerusi Parlimen Port Dickson yang dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah daripada PKR.
Demikianlah cepat dan ghairahnya Anwar untuk kembali ke Parlimen – tidak mengambil masa lama – sekali gus membuka laluan menduduki kerusi yang menjadi idamannya sejak 1993, selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah Dr Mahathir. Tetapi langkahnya ketika itu tidak kesampaian apabila dibuang atas alasan moral.
Kini, beliau akan sekali lagi kembali ke pentas politik dengan persiapan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, tatkala Dr Mahathir pernah berkata bahawa, serahan kuasa dan kerusi Perdana Menteri kepada Anwar mungkin tidak berlaku dalam tempoh dua tahun.
Anwar pula, bagi menunjukkan beliau tidak dilihat terlalu ghairah terhadap kerusi itu, sering menjaja dan mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk menjadi Perdana Menteri, kerana negara ketika ini memerlukan kestabilan dan seorang pemimpin yang kuat.
Diulanginya lagi di Singapura semalam: “Proses peralihan yang telah dipersetujui ialah (Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menguruskan hal ehwal negara dan kami menyokong beliau. Ini yang penting.
“Dan saya tidak fikir yang kami patut tergesa-gesa melakukannya kerana beliau (Dr Mahathir) memainkan peranan amat penting demi negara… saya mahu memastikan beliau efektif dalam kedudukannya.”
Apa kaitan dengan Mohamad Hasan atau ‘Tok Mat Hasan’?
Penulis berpendapat, calon BN paling sesuai berdepan Anwar pada PRK Parlimen Port Dickson tiada yang lain, kecuali Timbalan Presiden UMNO itu sendiri. Majlis Tertinggi UMNO dan BN perlu mengambil kira cadangan ini.
Memang DUN Rantau yang diwakili Tok Mat Hasan bukan di dalam Parlimen Port Dickson, tetapi tidak boleh dilupai bahawa beliau pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
Dalam kawasan Parlimen Port Dickson, terdapat DUN Bagan Pinang yang pada PRU14 lalu dimenangi BN; DUN Linggi juga dimenangi BN; manakala tiga DUN iaitu Chuah; Lukut; dan Sri Tanjung dimenangi PH.
Jikapun Tok Mat Hasan kalah pada PRK itu, ia tidak akan memalukannya, kerana Anwar adalah sebuah ‘nama besar’ dan jentera PH, terutama PKR, pastinya berhabis-habisan untuk meletakkan presiden mereka di landasan selesa ke Putrajaya.
Kini, ketika bangsa Melayu dan umat Islam melihat kebebasan bersuara dan tindakan yang boleh menjejaskan hak pribumi dan Islam, semakin tidak dikawal oleh kerajaan PH, huluran sokongan daripada PAS kepada UMNO mampu mengubah senario dan membakar jambatan yang menjadi laluan Anwar.
Tiga PRK yang baru berlalu selepas ibu segala PRU, sudah menyaksikan bagaimana kerjasama UMNO-PAS terikat. Siapa ‘meminang’ siapa bukan menjadi hal, sebaliknya demi Islam ‘kata bersahut salam bersambut’ lalu bertautlah ukhwah.
Cuma apa yang membimbangkan ialah, seperti kata-kata Tok Mat Hasan selepas BN gagal mempertahankan Negeri Sembilan:
Kalau Melayu tidak mahu saya nak buat macam mana.”
Oleh:



Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis 
Previous
Next Post »
loading...