Saya membaca kritikan aktivis sosial Marina Mahathir terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung kenyataannya mengenai mereka yang menyokong komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender(LGBT). Menurut Wan Azizah, beliau tidak akan membiarkan gaya hidup masyarakat LGBT, sambil menambah bahawa ia adalah haram. Pandangan itu dikemukakan dalam satu temu bual bersama pihak stesen radio BFM.
Saya berpandangan, apa yang diutarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu merupakan satu kenyataan normal dari mana-mana manusia yang inginkan kehidupan yang fitrah dan tunduk kepada ciptaan asal Pencipta manusia iaitu Allah S.W.T. Kehidupan peribadi Wan Azizah sendiri dilakari dengan pelbagai ujian terhadap suaminya yang dituduh meliwat yang sehingga ke hari ini tidak berjaya dibuktikan secara Syarie menurut Undang-undang Islam. Sekalipun ia kekal misteri dan masyarakat akhirnya kekal tidak tahu siapakah yang berbohong, bapa Marina kah atau suami Wan Azizah, namun saya yakin jauh di sudut hati Wan Azizah, beliau sangat sensitif dengan isu yang telah menghilangkan 2 dekad ketenteraman keluarganya ini.
Justeru, pendirian Wan Azizah wajib disokong. Bukan kerana ia keluar dari mulut seorang Timbalan Perdana Menteri atau seorang isteri kepada mangsa fitnah, tetapi kerana ia adalah selari dengan Islam. Mana-mana pihak yang membiarkan gaya hidup kelompok LGBT bahkan menyokongnya adalah haram sama sekali.
Mendekati golongan ini bukan bermakna mengiktiraf gaya hidup mereka. Anda mendekati golongan penagih dadah bukan bermakna anda setuju dengan gaya hidup mereka, tetapi tujuannya ialah untuk merubah dan menjadikan mereka manusia normal yang bebas dari pengaruh dadah. Demikian juga dengan LGBT bahkan ia lebih jelas haram dengan terang untuk disokong.
Marina Mahathir nyata cuba memesongkan kenyataan Wan Azizah. Istilah ‘haram’ yang digunakan dipesongkan kepada maknanya seolah-olah golongan ini cuba dipinggirkan sama sekali. Setidak-tidaknya Marina menunjukkan rasa hormat kepada bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menangis di hadapan para ulamak demi untuk melihat masyarakat kembali kepada al-Quran. Dan kisah kaum Nabi Lut yang kaumnya terlibat dengan golongan Homoseksual telah dijatuhkan bala oleh Allah S.W.T ini terdapat di dalam al-Quran dan boleh dirujuk melalui terjemahan maknanya dalam Bahasa Inggeris mahupun mana-mana bahasa (untuk yang tidak mampu membacanya dalam Bahasa Arab). Adakah dakwah Nabi Lut kepada kaumnya agar meninggalkan kegiatan Homoseks bererti tidak menghormati ciptaan manusia?
Saya simpati kepada Timbalan Perdana Menteri. Saya sifatkan kenyataan beliau ikhlas dan lahir dari sanubari normal seorang manusia. Namun yang menyerangnya ialah anak kepada Perdana Menteri. Sepatutnya dalam suasana seperti ini, seluruh pimpinan Parti Keadilan (PKR) bangun serentak untuk menyatakan sokongan kepada Presiden parti mereka yang diherdik di khalayak ramai. Maruah Presiden parti sedang didagangkan oleh anak Perdana Menteri sendiri. Sudahlah teguran ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Nurul Izzah Anwar terhadap langkah Perdana Menteri melantik Tan Sri Rahim Nor untuk jawatan penting dibiarkan tidak bersambut, serangan terhadap Presiden parti sendiri pun tiada siapa yang ingin bangun membela.
Jika tiada pihak dalam PKR yang sudi bangun menyokong Presiden PKR, saya sudi bangun menyokong. Mungkin juga secara senyap-senyap Wan Azizah telah dibela walaupun sepatutnya serangan terbuka dibalas dengan pembelaan terbuka, wallahualam. Barangkali juga semua pihak dalam PKR sedang sibuk dengan urusan pemilihan dalaman. Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang pada adatnya bangun menyokong pun tidak terkecuali sibuknya. Mengharapkan orang yang sibuk membela Datuk Seri Wan Azizah Ismail pada saat sekarang samalah seperti mengharapkan harga barang turun selepas SST diperkenalkan.
AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
1 September 2018 - HARAKAHDAILY 1/9/2018
Ahli Parlimen Pasir Mas
1 September 2018 - HARAKAHDAILY 1/9/2018