Baginda bertitah, kesemua perkara tersebut tertakluk kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak boleh dikompromi serta disensasikan oleh mana-mana pihak walaupun berlaku perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.  
Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetuju bersama semasa penggubalan Perlembagaan Merdeka tersebut akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmonis yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam. 
“Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara,” titah baginda. 
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Titah baginda lagi, rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa seperti kata pepatah, kancil terhimpit mati di tengah-tengah ketika gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung. - K! ONLINE