Get $25 free
loading...

Saya masih ingat Tun Mahathir lawat Forest City menuding jarinya ke papan tanda hak milik kekal


Sebelum PRU14, dua isu utama yang sering dimainkan oleh Tun Mahathir dan pemimpin PH untuk menuduh saya menjual negara ialah projek "Forest City" dan "Melaka Gateway" yang dilabur oleh pelabur-pelabur swasta dari negara China.

Saya masih ingat bagaimana Tun Mahathir pernah melawat Forest City sambil menuding jarinya ke papan tanda iklan hartanah hak milik kekal. Anaknya Mukrhiz pula menuduh saya sebagai satu-satunya PM yang jual tanah hak milik kekal kepada warga asing.

Tetapi pada 2 Ogos 2018, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar menjawab di Dewan Rakyat bahawa kerajaan PH tiada halangan dan akan terus membenarkan penjualan tanah milik kekal (free hold) di kawasan Forest City, Johor kepada warga asing.

Begitu juga dengan projek Melaka Gateway di mana Tun Mahathir sering menyerang saya dengan melabel projek ini sebagai bukti saya menjual kedaulatan negara kepada pihak asing. Dia juga mendakwa kita tidak perlukan projek ini kerana Malaysia sudah miliki banyak pelabuhan dan infrastruktur.

Kini, saya pelik apabila Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dipetik baru-baru ini sebagai berkata bahawa projek-projek pelabuhan Melaka Gateway dan pelabuhan Kuala Linggi (yang juga dilabur oleh pelabur negara China) amat penting untuk pembangunan negeri dan bakal membawa Melaka kembali ke zaman kegemilangan kesultanan Melaka.

Saya pelik mengapa projek yang dibuat semasa saya menjadi Perdana Menteri dilabel sebagai jual negara tetapi bila dibuat sekarang, ianya tiba-tiba menjadi projek penting yang boleh membawa Melaka kembali ke zaman kegemilangan kesultanan Melaka - walaupun projek-projek di atas tidak mengalami apa-apa perubahan dari segi skop projek atau pemegang saham, saya kehairanan. 

Apa-apa pun, tomahan dan fitnah sudah dilakukan. Saya reda dan maafkan mereka yang membuat tuduhan melulu sebelum ini. Saya optimis projek-projek ini bakal memberi pembangunan ekonomi dan menjana pekerjaaan. Oleh itu, saya doakan projek-projek tersebut akan dimajukan dengan lancar dan matlamat tercapai.

-Najib Razak
Previous
Next Post »
loading...