Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini berikutan kegagalan PH dalam menunaikan janji mereka sepanjang memerintah negara.
Bagaimanapun, katanya, sokongan pengundi terhadap BN didapati berada paras memberangsangkan dengan memperoleh lebih 9,000 undi.
"Saya menjangkakan kita kalah teruk namun perolehan undi itu membuktikan kita mendapat 75 peratus daripada lebih 11,000 yang diperoleh semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
"Keputusan tersebut lebih baik daripada PH yang saya jangka mendapat 18,000 undi namun hanya memperoleh lebih 15,000 undi sahaja. Justeru, perkara ini perlu dilihat, dikaji dan teliti (kerana undi PH merosot)," katanya ketika ditemui di Pusat Gerakan BN di Kampung Sungai Kandis sebentar tadi.
Beliau yang merupakan Timbalan Presiden UMNO memberitahu, berdasarkan keputusan PRK juga mendapati pola pemikiran pengundi kini semakin sukar dijangka dan dikategorikan oleh parti yang bertanding.
"Jika dahulu, deposit BN adalah pada saluran 1 hingga 3 melibatkan golongan orang tua namun kini telah berubah.
"Ini susulan ada yang saluran berkenaan BN kalah dan menang di saluran orang muda dalam beberapa Pusat Daerah Mengundi," katanya.
Sementara itu, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pula menegaskan rasa fobia dalam kalangan pengundi sama ada muda dan tua terhadap corak pelaksanaan PH memberikan kesan terhadap peratusan keluar mengundi.

"Lihat contohnya ada akaun (bank) dibekukan sesuka hati dan banyak pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta untuk meletak jawatan.

"Tindakan sebegitu mengakibatkan pengundi takut sekiranya mereka mengambil bahagian dalam PRK (keluar mengundi) memberikan kesan seperti bantuan kepada anak-anak dan kebajikan mereka. Ini amat berbahaya pada amalan sistem demokrasi,"
jelasnya. - K! ONLINE