Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, peratusan keluar mengundi yang kecil iaitu 49.4 peratus walaupun mengundi dibuat pada hari Sabtu menunjukkan rakyat mula hilang minat mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu berusia tidak sampai 100 hari.
"Ternyata pihak pembangkang berjaya membongkar kelemahan dan kegagalan janji-janji PH yang menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan ini mendorong para pengundi untuk sama ada protes tidak keluar mengundi atau mengundi calon Barisan Nasional (BN).
"Bagi Pas kepentingan memperkasakan suara pembangkang khususnya di negeri Selangor menjadi agenda penting khasnya dalam memastikan berlaku proses semak dan imbang terhadap pentadbiran negeri,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Roslan berkata, sebarang usaha menyatukan tenaga pembangkang dalam menghadapi PH dilihat suatu usaha yang relevan dan disambut baik oleh rakyat.
"Kerjasama pembangkang seumpama di PRK Sg Kandis sewajarnya diterus dan dipertingkatkan pula dalam PRK Seri Setia agar agenda memperkasakan suara pembangkang bakal menjadi realiti,"ujarnya.
PRK DUN Sungai Kandis dimenangi calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas,K. Murthy dengan majoriti 5,842 undi.
Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Mohd. Zawawi, 48, mendapat 15,427 undi  menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam yang memperolehi 9,585 undi dan calon bebas ( 97 undi). - K! ONLINE