Isteri Koh didakwa menjerit dan menengking pegawai penyiasat apabila diaju soalan mengenai dakwaan Raymond Koh terlibat dalam aktiviti Kristianisasi.
KUALA LUMPUR: Ahli keluarga Pastor Raymond Koh didakwa tidak memberikan kerjasama kepada polis yang menyiasat punca kehilangannya, kata pegawai penyiasat ASP Supari Mohammad.
Supari mendakwa pihak keluarga enggan mendedahkan beberapa perkara yang disentuh dalam siasatan itu, terutamanya dakwaan Koh terlibat dalam aktiviti Kristianisasi.
“Saya tidak berpuas hati dengan hasil siasatan kerana masih tidak ada jawapan dalam kes ini. Ia kerana terdapat beberapa kesukaran ketika cuba mengumpulkan maklumat.
“Ahli keluarga tidak mahu berikan kerjasama kepada saya. Mereka tidak jawab isu Kristianisas. Isu itu dibangkitkan kerana kita cuba mengecilkan skop siasatan dan apakah punca penculikan.
“Sebagai contoh, saya tanya soalan kepada ahli keluarga: dalam tempoh 4 hari pada tarikh sekian hingga sekian (apa aktiviti Koh)…mereka tetap nyatakan tidak tahu walaupun saya punyai bukti.
“4 hari Koh keluar dari rumah membawa beg, mereka nyatakan tidak tahu Koh pergi ke mana, walaupun tinggal sebumbung,” kata Supari dalam keterangan kepada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke atas kehilangan Koh, dan 3 individu lain, hari ini.
Supari bagaimanapun tidak mendedahkan dapatan polis mengenai aktiviti Koh dalam tempoh 4 hari itu kepada panel siasatan, yang diketuai Pesuruhjaya Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Dr Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Penyiasat itu juga mendakwa isteri Koh, Susanna Liew, menjerit dan menengkingnya ketika diaju soalan mengenai dakwaan Koh terlibat dalam aktiviti Kristianisasi.
“Susanna marah, menjerit apabila saya bertanya mengenai isu Kristianisasi…Saya bertanya kerana mahu dapatkan maklumat, hendak selamatkan mangsa,” katanya.
Supari menjelaskan siasatan terhadap Koh menyentuh dakwaan Kristianisasi disebabkan terdapat laporan oleh beberapa individu dan badan bukan kerajaan sekitar tahun 2011.
6 tahun lalu, Jais bertindak menyerbu majlis makan malam anjuran pusat kebajikan Harapan Komuniti dinaungi Koh di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) kerana menerima maklumat adanya aktiviti kristianisasi.
“Setiap petunjuk yang saya ada, saya akan tetap bertindak untuk dapatkan maklumat. Saya siasatan dari setiap sudut. Saya tahu bahawa ada orang yang buat laporan terhadapnya.
“Pada 2011, 78 laporan polis dibuat oleh individu dan ngo berkaitan dengan dakwaan apa yang Koh lakukan. Bahkan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut membuat laporan polis,” katanya.
Koh diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu, semasa memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.
Koh diculik semasa dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih daripada 10 lelaki dan 7 buah kenderaan di siang hari.
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat. Sehingga kini, masih tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini