Get $25 free
loading...

Jangan perkecilkan sumbangan besar Yap Ah Loy, kata keluarga

Cicit tokoh masyarakat Cina itu menghentam Perkasa kerana menimbulkan kesangsian dan melemahkan sumbangan kapitan itu.

Yap-Ah-Loy_kl_600

PETALING JAYA: Ahli keluarga keturunan Yap Ah Loy menghentam Perkasa kerana cuba menimbulkan kesangsian dan melemahkan sumbangan kapitan Cina itu sebagai pengasas Kuala Lumpur.

Glenn Yap berkata moyang lelakinya itu terutamanya bertanggungjawab menjadikan Kuala Lumpur bandar dinamik.

Glenn-Yap

Glenn Yap

Glenn berkata KL termusnah dalam 2 peristiwa – pertama selepas tamatnya perang saudara Selangor pada 1873 dan kedua, selepas kebakaran besar yang menghancurkan keseluruhan kawasan tengah Kuala Lumpur.

“Isunya tentang Yap Ah Loy ialah beliau pengasas Kuala Lumpur. Sesetengah orang cuba menimbulkan kesangsian dan melemahkan sumbangan Yap Ah Loy.

“KL boleh dianggap kawasan termusnah (pada 1873 dan 1881) dan Yap Ah Loy membinanya semula. Jadi, apa yang dibina oleh orang lain, atau wujud sebelum 1873, terutamanya sebelum 1881, termusnah dalam peperangan dan kebakaran.

“Jadi, bukankah tepat untuk katakan ‘pendatang’ dari China itu, bertanggungjawab dalam membina KL dan mengasaskan Kuala Lumpur baharu?” kata Glenn kepada FMT.

Timbalan Presiden Perkasa Sirajuddin Salleh mempersoalkan mereka yang memberikan pengiktirafan kepada Yap yang dikatakan membangunkan Kuala Lumpur, susulan pelancaran setem peringatan oleh Pos Malaysia sebagai penghormatan kepada kapitan Cina itu baru-baru ini.

Setem itu dikeluarkan, dengan kerjasama beberapa pertubuhan Cina, sempena ulangtahun ke-180 kelahiran Yap.

Perkasa berkata Yap terlibat dalam aktiviti jenayah di bandar itu.

“Yap Ah Loy datang ke Kuala Lumpur kemudian. Perniagaannya adalah perdagangan candu, pelacuran dan perjudian,” kata Sirajuddin.

Mengulas perkara itu, Glenn, 40-an, berkata aktiviti seperti itu wujud pada masa itu, dan moyangnya ditugaskan British untuk mengutip cukai di ketiga-tiga kawasan itu.

Glenn berkata di zaman penjajah, British mengizinkan perniagaan seperti itu dan semua perniagaan itu diberi lesen untuk beroperasi.

“Saya setuju dia bukan seorang yang suci. Dia kutip cukai. Dia seorang yang bengis dengan suara yang kasar.

“Tetapi dia seperti jeneral kepada rakyat. Rakyat percaya pada dia. Dia juga pemimpin untuk semua bangsa. Dia pastikan orang Melayu dan British bekerjasama,” katanya.

Glenn seterusnya menyenaraikan sumbangan Yap, seperti membina sekolah Cina pertama dan hospital pertama, dan membina jalan raya seperti Jalan Ampang dan Jalan Damansara, dan jalan-jalan lain di kawasan tengah KL.

Yap juga bertanggungjawab untuk tokong Taoist terkenal, Sin Sze Si Ya, di Jalan Petaling.

“Saya sebagai cicitnya sangat berbangga dengan sumbangan itu,” kata Glenn.

Glenn berkata sebagai seorang remaja yang berhijrah, Yap membina dirinya sehingga menjadi seorang pemimpin masyarakat pada usia 24, apabila dilantik kapitan di Sungai Ujong.

Yap, menurut Glenn, sekali lagi dilantik kapitan Kuala Lumpur dan Klang pada 1868.

“Beliau banyak berbakti pada KL hinggakan British memindahkan pusat pentadbiran dari Klang ke KL pada 1880,” katanya, dan menambah 2 kapitan sebelum Yap tidak banyak menyumbang kepada KL, kerana tempoh perkhidmatan mereka singkat.

Yap seorang pedagang dari China yang menjadi kapitan Kuala Lumpur ke-3 pada 1868 – kedudukan yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Cina dengan hubungan rapat kepada pemimpin Melayu pada zaman itu.

Yap, yang meninggal dunia pada 1885 pada usia 48, juga diberi pengiktirafan kerana peranannya menamatkan perang saudara di Selangor.

Beliau disebutkan dalam buku sejarah sebagai individu yang membantu mengubah Kuala Lumpur daripada pekan lombong timah kepada pusat komersial yang berkembang maju.

Sejarawan dan ahli akademi sekian lama berdebat mengenai pengasas Kuala Lumpur, namun kedua-dua pihak bersetuju peranan Yap dalam pembangunan awal bandar itu.

Sejarawan terkemuka Prof Khoo Kay Kim sebelum ini berkata pengasas Kuala Lumpur sebenarnya Sutan Puasa, seorang pedagang yang mengembara dari Sumatra dan membina namanya dalam industri timah di situ.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...