Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 yang ke-71 adalah pentas untuk ahli dan pemimpin UMNO bersiap sedia hadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agung UMNO.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Umno kini berada dalam mod perang dan setiap ahli akan diterapkan dengan pemikiran untuk menang.
“Saya yakin ucapan Presiden Umno akan mengarah (berkisar) kepada PRU. Bahkan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai pengerusi jawatankuasa usul sudah memastikan usul negeri tertumpu pada PRU.
“Mod perhimpunan ini untuk kita tanamkan mentaliti boleh menang (PRU) untuk semua yang hadir,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ada “hari besar selepas Tahun Baru Cina tahun hadapan”.
“Jangan lupa hari besar (Tahun Baru Cina) akan sampai, lepas Tahun Baharu Cina akan ada ‘hari besar’ lain.
“Kalau dulu bikin silap tak undi Barisan Nasional (BN), tidak mengapa saya maafkan. Kalau boleh kali ini jangan bikin silap lagi,” kata Zahid dalam loghat orang Tiong Hua berbahasa Melayu.
Tengku Adnan juga berkata, sejak 71 tahun lalu Umno merupakan parti terbaik untuk memayungi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama.
“Ya. Kami adalah parti terbaik, bukan sahaja untuk bangsa Melayu, bahkan bukan Melayu juga memandang tinggi pada UMNO.
“Umno adalah payung buat semua bangsa dalam negara. Mereka (bukan Melayu) juga yakin Umno akan beri perlindungan kepada mereka,” katanya.
PAU 2017 akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember depan yang mana seramai 5,739 perwakilan dijangka akan menghadiri perhimpunan agung kali ini.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini