Get $25 free
loading...

Berlumba sambil belajar teknik keselamatan jalan raya

Aktiviti yang diberi nama 'Amazing Race 2017' mengambil pendekatan praktikal untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya kepada golongan belia.

petron-road-safety-1-3fmt-ohsem-inside-article1Suasana Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) menjadi riuh-rendah seketika apabila kira-kira 300 pelajar universiti dilihat berpusu-pusu menuju ke tangga bangunan kompleks universiti yang berketinggian 15 tingkat.

Penulis ketika itu sedang menikmati juadah di kafe universiti di tingkat 2 hanya dapat melihat sekumpulan pelajar berkenaan bergegas meninggalkan kawasan kafe dalam keadaan tergesa-gesa seperti dalam satu perlumbaan.

Melihatkan situasi itu, penulis bertanya kepada seorang daripada wakil dari Petron yang mengiringi kumpulan media Bernama untuk melihat sendiri acara terbabit dan ternyata ia adalah satu perlumbaan dijalankan bagi memeriahkan kempen keselamatan jalan raya.

Lebih tepat lagi, aktiviti yang diberi nama ‘Amazing Race 2017’ adalah satu aktiviti interaktif yang mengambil pendekatan praktikal kepada pelajar universiti untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya kepada golongan belia.

Ketua Keselamatan Korporat, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron, Lokman Md. Hani berkata konsep ‘Amazing Race 2017’ diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar universiti untuk mempelajari teknik keselamatan jalan raya melalui pembelajaran secara interaktif.

Belajar secara interaktif

“Sambutan yang diberikan amat menggalakkan dengan hampir 5,000 pelajar dari 7 universiti mengambil bahagian dalam program jelajah Kempen Keselamatan Jalan Raya bagi tahun 2017,”

“Keunikan program ini adalah terdapat kerjasama bersama badan penguatkuasa iaitu Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Goodyear, serta sekolah memandu terpilih.

“Pihak kami berperanan sebagai peneraju kepada inisiatif tersebut dan menyasarkan golongan belia ekoran jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan warga belia amat tinggi meliputi 60% daripada 6,706 kematian direkodkan di seluruh negara pada tahun 2015,” kata Lokman.

Senarai universiti terlibat ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Pada acara itu, peserta dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing dan perlu menempuh 4 halangan atau hentian berbeza bagi menamatkan perlumbaan yang secara purata mengambil masa 3 jam untuk dihabiskan.

Pada hentian pertama, peserta perlu menjawab 20 soalan berkaitan lambang papan tanda yang terdapat di Malaysia dan sebelum mendapat soalan, setiap peserta perlu melontar damak pada papan damak bagi menentukan jumlah soalan yang perlu mereka ambil.

Apabila damak mengenai sasaran, peserta perlu bertukar giliran dengan rakan sepasukan lain bagi meneruskan permainan dan apabila damak mengenai bahagian lain dalam papan, peserta dikehendaki menjawab soalan yang diberikan oleh petugas di hentian itu.

Hentian itu dijaga oleh pegawai dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) yang memberikan kad dengan lambang jalan raya dan kertas soalan untuk diisi peserta setelah menamatkan lontaran.

petron-road-safety-1-1Pada hentian kedua, setiap pasukan dikehendaki melengkapkan pemeriksaan rutin kereta dan motosikal berbekalkan kertas senarai yang disediakan pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Memandu Kecemerlangan Latihan untuk disemak selepas itu.

Hentian ketiga menduga akal peserta mengenai pemeriksaan keadaan tayar, bukan satu tetapi 20 jenis tayar kenderaan yang berlainan tekanan dan tempoh pengeluaran perlu diteliti di mana peserta perlu mengisi maklumat dalam kertas soalan yang diberikan.

Soalan berbentuk kuiz disediakan sendiri oleh pegawai dari Goodyear Malaysia yang bekerjasama dengan Petron dalam kempen keselamatan jalan raya sejak setahun lepas.

Hentian yang terakhir merangkumi cara menukar minyak hitam motosikal dan minyak berkenaan akan diisi menggunakan produk minyak Petron jenis sintetik penuh (full synthetic oil) yang disediakan di hentian berkenaan.

Selepas melihat juruteknik menunjukkan cara menukar minyak hitam, salah seorang peserta dipilih untuk menukar minyak hitam sendiri manakala ahli kumpulan yang lain akan menyelesaikan teka silang kata.

Timba pengalaman baharu

Kempen yang dianjurkan syarikat Petron tahun ini memberi kesan positif terhadap peserta yang terlibat berikutan konsep pembelajaran secara interaktif yang diperkenalkan bagi meningkatkan pemahaman mengenai keselamatan jalan raya.

Seorang daripada peserta yang juga pelajar tahun kedua UNITAR, Muhammad Harith Hafizi berkata kempen yang dijalankan Petron mengingatkannya kembali khususnya mengenai cara pemeriksaan motosikal yang betul.

“Sebelum ini, saya jarang melakukan pemeriksaan pada motosikal sendiri dan perkara yang saya belajar adalah pemeriksaan rantai motosikal iaitu komponen penting bagi sebuah motosikal,” kata Harith.

Harith, yang berasal dari Seremban, menyewa kediaman di sekitar kawasan Kelana Jaya bersama 2 rakannya dan sentiasa menggunakan kenderaannya untuk berulang alik ke kampus setiap hari.

petron-road-safety-1Selain menjalankan kempen keselamatan jalan raya, Petron mewujudkan program “Petron-Go-To-Safety Points” (GTSP) dalam usaha untuk menyediakan bantuan kecemasan kepada mangsa jenayah atau kecemasan lain di stesen minyak Petron berhampiran.

Program yang dilancarkan pada 2013 melibatkan pengusaha dan kakitangan stesen minyak yang dilatih oleh Petron untuk membantu mangsa mendapat bantuan secara dekat tanpa perlu mencari balai polis ataupun hospital.

Selain dilatih untuk membantu mangsa menghubungi perkhidmatan kecemasan, kakitangan bertugas akan membantu mangsa dengan menyediakan sajian ringan dan rawatan kecemasan di satu sudut khas kedai serba guna Petron, Petron’s Treat sementara menunggu bantuan tiba.

Sebanyak 600 stesen Petron di seluruh negara kini dilengkapi dengan hab keselamatan sejak program itu dilancarkan 4 tahun lepas.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...