Get $25 free
loading...

Debat MA63: Pandikar mahu pengkritik namakan tempat, masa

Speaker Dewan Rakyat berkata beliau tidak dapat menyahut seruan mendebatkan isu itu di Parlimen kerana beliau mempengerusikan Dewan.

pandikar-amin-ma63-4

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sedia berdebat isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di luar Parlimen.

Beliau tidak dapat menyahut seruan mendebatkan perkara itu di Parlimen kerana beliau mempengerusikan Dewan Rakyat.

“Ramai orang meminta perkara itu didebatkan di Parlimen dan sekalipun Peraturan Tetap 15 diabaikan, saya tidak akan boleh kerana sayalah yang mempengerusikan Dewan Rakyat.

“Sebab itu saya minta diadakan debat terbuka. Saya sedia sahut seruan kamu di luar Parlimen. Namakan tempat dan masa dan Pandikar Amin akan turun,” katanya di pelancaran buku baharunya bertajuk “Berpisah Tiada” yang menyentuh mengenai undang-undang Sabah dan tempatnya dalam Malaysia.

Peraturan Tetap 15 menyatakan dalam setiap hari bersidang, urusan kerajaan akan diberi keutamaan mengatasi urusan persendirian wakil rakyat.

Beliau berkata tiada kes untuk mengatakan Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Tanah Melayu apabila semua negeri sama taraf di Malaysia.

“Sama sekali tidak jika kamu faham konsep persekutuan.

“Persekutuan bererti semua negeri mesti sama taraf, jadi bagaimana kamu boleh kata Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Tanah Melayu sedangkan selepas Malaysia terbentuk pada 1963, Tanah Melayu tidak lagi wujud.”

Beliau menyalahkan “suara tidak bertanggungjawab di luar sana” yang mendakwa hak rakyat Sabah dan Sarawak diambil.

“Dakwaan itu cuma retorik politik kosong oleh pihak tertentu kerana mereka tidak faham perjanjian itu sepenuhnya.

“Ada orang dengan ijazah kedoktoran yang masih tidak faham perjanjian itu, apa lagi orang muda, terutamanya apabila Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold semuanya dalam Bahasa Inggeris.

“Adakah mereka faham? Selepas mengkaji banyak dokumen berkaitan, saya rasa saya bertanggungjawab menjelaskan cerita sebenar kepada generasi hari ini dan berikan mereka idea alternatif tentang bagaimana melihat perkara itu.”

Ketika ditanya adakah beliau menerbitkan buku itu sebagai tanda beliau pulang ke politik Sabah, Pandikar berkata: “Tidak. Ini cuma satu lagi sebab mengapa saya bertungkus-lumus menyiapkan buku ini, untuk menjelaskan mengapa saya tidak bersetuju dengan pihak yang mengatakan hak rakyat Sabah dan Sarawak dicabuli.

“Bagi saya, kita tak boleh putar fakta yang kita tidak faham. Saya telah dikecam rakyat Sabah dan Sarawak kerana pendirian saya dan kononnya saya ada cita-cita politik. Semua itu tidak betul.

“Hakikatnya saya berani menyatakan pendirian saya apabila mereka gelar saya pengkhianat kerana mempertahankan keputusan kedua-dua negeri itu menyertai Malaysia kerana jika tidak, di mana mereka sekarang ini? Kita mungkin jadi salah satu wilayah Filipina atau Indonesia.”


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...