Get $25 free
loading...

Ku Nan, orang Melayu bukan bodoh

Ku-NanOleh Ahmad Soffian Mohd Shariff

Sebagai seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya merasa terpanggil untuk menjawab kenyataan Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor (atau Ku Nan) yang dengan semberono mengatakan UiTM merupakan tempat untuk pelajar “slow learner”, dalam erti kata lain pelajar bodoh.

Mungkin beliau lupa bahawa beliau juga merupakan alumni Institut Teknologi MARA (ITM) apabila memperoleh Diploma Pentadbiran Pernigaan dari institusi itu sebelum berpeluang terbang ke Amerika Syarikat dan menuntut ilmu di Universiti of Southern California.

Apakah menuntut di luar negara hanya beberapa tahun telah menyebabkan Ku Nan mengalami amnesia dan lupa yang beliau juga adalah bekas penuntut ITM?

ITM diasaskan atas dasar untuk membangunkan orang Melayu dari keluarga kurang berkemampuan. Dasar ini diteruskan walaupun institusi tersebut telah ditukar taraf kepada universiti dengan wujudnya kemudahan-kemudahan khusus untuk membantu golongan Bumiputera.

Sebagai contoh jika dibandingkan yuran UiTM dengan universiti tempatan lain, sudah tentu yuran UiTM adalah lebih murah.

Apa yang keluar dari mulut Ku Nan adalah falsafah yang sedang dipakai oleh para pemimpin Umno yang menyangkakan orang Melayu ini bodoh dan mundur, manakala elitis seperti beliau sahaja yang pandai dan mampu membantu orang Melayu.

Natijah golongan ini adalah supaya orang Melayu terus menyangka diri mereka kurang pandai, kurang rajin dan kurang usaha agar sentiasa memerlukan pemimpin-pemimpin yang sudah ketinggalan zaman seperti Ku Nan.

Tidak dinafikan, dasar kerajaan suatu masa dahulu banyak membantu orang Melayu dan Bumiputera. Namun begitu itu bukanlah satu alasan untuk Umno atau mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk terus memasung orang Melayu dengan kata-kata ugutan dek kerana kononnya masih lagi termakan budi dengan tindakan pemimpin Umno zaman dahulu.

Kita semua sedar Umno yang ada sekarang bukanlah Umno yang telah ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafar.

UiTM di kelas tersendiri

Sejarah ITM atau UiTM bukanlah calang-calang. ITM dikenali sebagai Dewan Latihan RIDA (Rural Industrial Development Authority), lahir sebagai sebuah pusat percubaan yang menyediakan kursus pendidikan bahasa Inggeris untuk belia di kawasan luar bandar.

Dewan Latihan RIDA diasaskan untuk meningkatkan sosio ekonomi para belia desa untuk memastikan mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan melalui pendidikan.

Pengambilan pelajar pertama adalah seramai 25 orang bagi kursus London Chamber of Commerce dan kursus untuk peniaga kecil.

Tahun 1965 menyaksikan Dewan Latihan RIDA direvolusikan dan menukarkan nama institusi itu kepada Maktab MARA (Majlis Amanah Rakyat), yang mana hasil dari Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan di Kuala Lumpur pada 5 hingga 7 Jun 1965.

Pada tahun yang sama, satu kajian bersama dijalankan oleh kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menunjukkan Malaysia mempunyai masalah kurangnya pekerja terlatih (profesional dan separa profesional) dari kalangan Bumiputera.

Pada 14 Oktober 1967, Tun Abdul Razak meletakkan batu asas bagi pembinaan kampus pertama Maktab MARA yang kini ditambah peranannya dan dikenali sebagai Institut Teknologi MARA.

Pada 1999, sekali lagi institusi itu mengalami transformasi apabila perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekaligus memperkasa institusi itu menjadi pusat kecemerlangan unggul seperti yang kita lihat sekarang.

Walaupun UiTM masih meletakkan “affirmative action” sebagai dasar utamanya, ini tidak bermakna universiti itu terkebelakang dan hanya dijadikan pilihan pelajar apabila tidak diterima oleh universiti lain. Malah, UiTM menjadi pilihan utama kebanyakkan graduan Bumiputera pada masa kini.

Menurut laporan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Ranking 2018, UiTM telah mendapat tempat ke-158 universiti terbaik Asia dari jumlah kira-kira 11,900 universiti, yang mana menjadikan institusi pendidikan tinggi itu antara 1.3% universiti terkemuka di benua ini.

Bukan sekadar itu, menurut laporan Penarafan Kebolehpasaran Graduan Dunia QS 2018 (QS World Graduate Employability Rangking 2018) telah menyatakan bahawa UiTM adalah antara 3 universiti terbaik di Malaysia.

Apakah universiti yang dipenuhi dengan anak-anak Melayu yang “bodoh” dalam konteks akademik (seperti kata Ku Nan) mampu membawa UiTM ke mercu yang sebegitu tinggi?

Bagaimana pula dengan tokoh korporat, undang-undang, kejuruteraan, keusahawanan dan media yang lahir dari UiTM adalah datang dari kalangan pelajar yang lembam?

Apakah Datuk Kamaruddin Maranun, Datuk Seri Shazzalli Ramly, Datuk Aminar Rashid, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, Datuk Seri Zukri Samat, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Seri Panglima Musa Aman, Datuk Richard Malanjum, Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Seri Zin Mohamed, Datuk Seri Azalina Othman Abas yang menjadi antara tokoh pelbagai bidang di Malaysia merupakan pelajar slow learner seperti kata Ku Nan?

Putar belit media?

Jika zaman dahulu, mungkin alasan seperti ini akan diterima oleh rakyat Malaysia, namun dengan adanya teknologi terkini, rakaman video ucapan Ku Nan jelas menunjukkan bahawa beliau dengan nada serius mengatakan bahawa pelajar slow learner kononnya diberi peluang oleh Umno untuk masuk dan belajar di UiTM.

Hanya kerana marahkan sebilangan mahasiswa dan graduan Melayu yang tidak menyokong Umno, Ku Nan sanggup membuat satu rangkuman bahawa semua graduan di Malaysia tidak menyokong kerajaan.

Agaknya, keputusan untuk tidak menyokong kerajaan adalah satu keputusan yang baik.

Apa guna beri sokongan kepada kepimpinan yang merasakan anda bodoh dan hanya memikirkan anda hanya mampu hidup dengan menerima suapan di tangan-tangan korup mereka sahaja.

Pada pandangan penulis, watak seperti Ku Nan adalah seperti orang batu yang masih tinggal di zaman mesolitik. Dia menyangka batu dan beliung yang merupakan senjata utamanya itu mampu untuk membuat orang dizaman ini kagum dan teruja untuk mengikutnya.

Walhal, sifat dan mentaliti beliau hanya menyebabkan orang ramai lebih menjauhi dan membenci Umno dan BN.

Ku Nan adalah antara contoh terbaik pemimpin Umno yang sudah lapuk dan “out of touch” dengan masyarakat umum. Seharusnya politikus seperti itu ditamatkan riwayat politiknya dan dibenamkan menjadi fosil.

Kisah golongan seperti Ku Nan ini hanya perlu disematkan dalam buku-buku sejarah, supaya menjadi pedoman kepada anak-anak akan datang.

Ahmad Soffian Mohd Shariff, graduan undang-undang dari UiTM, merupakan bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.




lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...