Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ronald Kiandee berkata, kutipan itu hasil sumbangan peribadi semua ahli Parlimen tanpa mengambil kira fahaman politik yang dilakukan dalam tempoh seminggu.
COX’S BAZAR: Delegasi Parlimen Malaysia hari ini menyampaikan sumbangan RM25,600 kepada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang berada di negara ini sebagai tanda prihatin membantu pelarian Rohingya.
Sumbangan wang tunai itu diserahkan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) bagi membeli barangan keperluan pelarian Rohingya di Kem Pelarian Kutupalong, kira-kira 35km dari Cox’s Bazar.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee merangkap ketua delegasi berkata, kutipan itu hasil sumbangan peribadi semua ahli Parlimen tanpa mengambil kira fahaman politik.
“Kita mengumpul dana itu dalam tempoh seminggu.
“Usaha ini adalah tanda simpati, sokongan dan keprihatinan warga Parlimen ke arah meringankan penderitaan dilalui masyarakat Rohingya,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan hari ini.
Dianggarkan lebih 600,000 penduduk Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar, melarikan diri ke Bangladesh berikutan serangan tentera Myanmar terhadap orang awam dengan alasan memerangi militan bersenjata, sejak 25 Ogos lalu.
Dalam majlis itu, Ronald menyampaikan 2 sampul surat masing-masing berjumlah RM12,800 kepada Naib Presiden Mapim, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ketua Kumpulan Mercy Malaysia, Yao Rachel.
Beliau berkata, kutipan itu merupakan sumbangan tambahan bagi 25 tan makanan hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat Halal Industry Development Corporation (HDC).
“Semua barangan makanan itu sedang melalui proses akhir dan akan dibawa ke sini (Bangladesh) dalam tempoh terdekat menggunakan pesawat Air Asia atau Malindo Air,” katanya.
Syarikat multinasional seperti F&N Marketing Sdn Bhd, Nestle (M) Berhad, Dutch Lady Milk Industries Berhad dan Fortune Lab Sdn Bhd antara penyumbang makanan bagi misi itu.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini