BUTTERWORTH - Calon Presiden UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah akan menganjurkan UMNO untuk meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan menunaikan tanggungjawab dengan baik sehingga mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, perkara itu akan dilakukan sekiranya beliau dipilih menjadi presiden UMNO.
Katanya, beliau mahu menganjurkan UMNO di semua peringkat cawangan dan bahagian untuk meminta maaf kepada rakyat supaya parti itu dapat mendekati semula rakyat sekali gus mengajak mereka kembali bersama UMNO.
"Saya nak menganjurkan kita minta maaf dengan rakyat Malaysia atas kesilapan kita kerana tidak menyempurnakan tanggungjawab sebagai amanah sehingga menyebabkan mereka (rakyat) marah. Agama kita juga menganjurkan kita untuk meminta maaf...itu budaya kita.
"Saya rasa mereka akan memaafkan kita. Itu yang mesti kita lakukan. Minta maaf kepada semua kerana kita cuai dengan amanah yang telah diberikan kepada kita," katanya berucap pada majlis Sesi Ramah Mesra Bersama Tan Sri Tengku Razaleigh, di sini hari. - Bernama