Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada Gerakan berhubung keputusan parti itu meninggalkan BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.
"Saya akan minta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja BN, Datuk Seri Abu Khamis menghubungi Gerakan kerana kita belum dapat hubungi mereka lagi.
"Surat daripada Gerakan untuk keluar daripada BN pun tidak diterima lagi, sebab itu kita perlukan maklumat dan teliti dahulu," katanya pada sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini petang tadi.
Gerakan dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan keluar daripada BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif selepas keputusan sebulat suara dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Pusat GERAKAN (CGC).
"Keputusan ini dibuat selepas perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang menyeluruh dan serius terhadap perkembangan politik semasa negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
"Sentimen dan maklum balas daripada akar umbi juga diambil kira dalam keputusan ini, pemilihan parti di peringkat cawangan sedang berlangsung di seluruh negara. Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyatukan parti dan ahli," kata kenyataan itu.