Get $25 free
loading...

Kepimpinan Sabah, Sarawak zahir sokongan kepada Dr Mahathir


PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Kepimpinan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak hari ini menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin negara dalam membangunkan negara.

Ia dizahirkan pada majlis jamuan ramah mesra bersama Dr Mahathir yang berlangsung di Seri Perdana di sini, yang dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan kepimpinan kedua-dua negeri.

Mohd Shafie ketika ditemui Bernama selepas pertemuan lebih sejam itu menyatakan komitmen kerajaan negeri Sabah untuk mengeratkan ikatan dengan kerajaan persekutuan demi pembangunan negara secara keseluruhannya.

"Yang penting kerana Sabah dan Sarawak ini adalah negeri yang kita perlu lihat dari perspektif pembentukan negara."

"Kami mahu beritahu kepada (perdana menteri) bahawa kami menyokong beliau sebagai pemimpin negara kita untuk membolehkan negara kita dibangunkan," kata Mohd Shafie.

Ditanya sama ada isu penyertaan wakil kedua-dua negeri itu dalam Kabinetpersekutuan dibincangkan pada majlis tersebut, Mohd Shafie berkata perkara itu tidak dibangkitkan namun menyerahkan kepada perdana menteri untuk membuat keputusan.

Katanya beliau sebelum ini pernah menyatakan tentang kepentingan penyertaan wakil Sabah dan Sarawak dalam Kabinet perdana menteri.

"Itu kuasa mutlak beliau (perdana menteri) kerana yang penting kepada kita ialah penyertaan."

"Kita tahu ini adalah satu perjuangan yang perdana menteri sedia maklum dan faham," katanya.

Abang Johari yang turut senada dengan Mohd Shafie berkata kesediaan perdana menteri mengundang kepimpinan kedua-dua negeri ke majlis itu akan merapatkan lagi kerjasama dan silaturahim dengan kerajaan pusat yang sudah tentu akan memberi kesan yang baik kepada negara.

"Tiada isu yang dibincangkan, hanya beramah mesra dalam suasana hari raya."

"Kabinet tidak dibincangkan. Kita hanya bincang tentang makanan yang sedap-sedap sahaja," katanya secara berseloroh.

-- BERNAMA
Previous
Next Post »
loading...