DUA pelancong China yang berkelakuan tidak senonoh dengan berpakaian seksi sambil menari di atas tembok pagar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di Kota Kinabalu, didenda oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Wan Han, 37, dan Zhang Na, 25, kedua-duanya guru tarian, masing-masing dikenakan denda RM25 selepas didakwa mengikut Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana berkelakuan tidak sopan di kawasan awam.
Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengenakan hukuman itu selepas kedua-duanya yang tidak diwakili peguam mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di atas tembok pagar masjid berkenaan pada 4.30 petang, 23 Jun lalu.
Ahad lalu, pengurusan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu menutup kawasan masjid kepada semua pelancong asing, susulan tersebar video berdurasi 10 saat menunjukkan aksi tidak senonoh dua wanita sambil menari ala ‘K-pop’ di atas tembok pagar rumah ibadat itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata dua pelancong wanita itu ditahan di lobi hotel di Kota Kinabalu, pada 11 pagi hari ini.
Katanya, siasatan dan tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki berumur 55 tahun mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahad lalu.
“Kedua-dua wanita itu mengaku tindakan mereka tanpa sebarang niat untuk mengaibkan kesucian tempat ibadat melainkan untuk hiburan semata-mata.
“Mereka memaklumkan akan pulang ke negara asal dengan penerbangan pada jam 8 malam ini,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.
Chandra berkata, Konsul China di Kota Kinabalu sudah dimaklumkan mengenai tangkapan dan siasatan terhadap kedua-dua wanita itu.