Sudah ada tamadun Melayu/Islam di pulau itu masa itu. Jika tidak masakan boleh dibina di situ masa itu?
Jika nama Dr. Lim Chong Eu dan Karpal Singh boleh diabadikan bagi jalan dan lokasi tertentu, tanyanya, mengapa nama orang awal mendiaminya seperti Haji Muhammad Saleh @ Nakoda Nan Intan dan lain-lain sebelum kedatangan Kaptan Francis Light ke situ.
Lalu Prof Datuk Murad mencadangkan nama Bandar Georgetown dikembalikan kepada nama asalnya Tanjung atau Tanjung Penaga. Bukan demi menafikan kewujudan majoriti besar penduduk Cina di negeri itu sekarang tetapi semata-mata sebagai pengiktirafan sejarah seperti yang diinginkan oleh UNESCO.
Sebaik merdeka kita ubah kota yang memakai nama penjajah kepada nama tempatan seperti Port Swettenham kepada Pelabuhan Klang dan Jeselton kepada Kota Kinabalu dan lain-lain. Maka Dr.Murad suka Tanjung digantikan bagi Georgetown kerana nama asal sejarahnya.
Saranan beliau bukan yang pertama. Kami dari Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan Pulau Pinang sudah cadangkan nama itu tahun 1965. Haji Sulaiman Palestin, Speaker Pulau Pinang dalam kenyataan medianya mencadangkan agar tahun 1966 dijadikan tahun peralihan penggunaan bahasa kebangsaan sebelum ia dirasmikan tahun 1967 seperti yang disetujui oleh perlembagaan iaitu Bahasa Melayu akan jadi bahasa rasmi sepuluh tahun selepas merdeka.
Rang usul itu dibentangkan di Dun Pulau Pinang oleh Adun Ismail Hashim dari Sungai Dua, Bayan Lepas dan diluluskan.
Menjelang pembentangan itu beberapa orang peminat bahasa diketuai oleh Cikgu Mohd Nor, mantan Yang Dipertua Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung dan mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno menubuhkan badan ad-hoc Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan Pulau Pinang. Saya jadi ahli. Anggota lain ialah Harun Hasan, wartawan kanan Utusan Melayu di Pulau Pinang dan setiausahanya Zakri Abadi. Beberapa yang lain saya tidak ingat.
Antara yang kami putuskan ialah menamakan semula Bandaraya Pulau Pinang kepada Tanjung. Sekalipun British menamakan bandar itu Georgetown, nama Raja Inggeris masa Pulau Pinang diambil tetapi semua orang memanggilnya Tanjung. Penduduk Cina yang mulai ramai itu sendiri menyebutnya Tanjung. Pejabat kerajaan saja memakai Georgetown.
Apabila Pulau Pinann diisytiharkan bandaraya sebelun merdeka ia dipanggil Bandaraya Pulau Pinang. Saya tidak ingat ia dipanggil Bandaraya Georgetown. Semua Datuk Bandar yang dipilih dipanggil Datuk Bandar Pulau Pinang. Pilihan raya ahli majlis bandaraya pulau diketahui dengan pilihan raya Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Bila kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Wong Pau Nee mengambil alih kuasa Majlis Bandaraya untuk ditadbir oleh kerajaan negeri iaitu disebut Dewan Bandaraya Pulau Pinang. Georgetown tidak diguna langsung.
Saya tidak tahu apa Cikgu Mohd Nor buat atas keputusan menamakan semula sebagai Tanjung kerana saya pindah ke Kuala Lumpur. Demikian juga Harun Hasan dan Zakri Abadi. Adakah Tan Sri Yusuf Latif Setiausaha Politik Ketua Menteri masa itu tahu hal itu?
Apabila Gerakan mengambil alih kerajaan Pulau Pinang, Lim Chong Eu sebagai Ketua Menteri dan Haji Ahmad Badawi, Timbalan Ketua Menteri, Bandaraya Pulau Pinang jadi Georgetown semula. Tanjung tidak diketahui lagi. – HARAKAHDAILY 22/6/2018