Get $25 free
loading...

Terkejut Tengok Selimut Bergerak-gerak

“Saya nampak ada benda bergerak-gerak bawah selimut. Terdetik juga dalam hati, mungkin ular… tapi tak pasti ular jenis apa” jelas seorang penduduk yang bernama Norasiah Leman berusia 53 tahun.

Dia yang menetap di Pasir Panjang menyatakan bahawa kejadian kira-kira jam 9.30 malam semalam itu berlaku, ketika dia sedang mengemas sebuah bilik tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran ular sawa batik.

“Masa saya nak angkat bantal dan selimut atas sofa yang terletak bersebelahan katil, saya terkejut bila selimut tiba-tiba bergerak” ujarnya.

Dalam pada itu, Norasiah yang juga guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan mengakui, kejadian ular masuk ke rumah adalah kali pertama dilaluinya sejak menetap di situ sejak lima tahun lalu.

“Bahagian belakang rumah terdapat kebun kelapa sawit. Mungkin ular itu datang dari situ.,” katanya.

Katanya, dia bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, dia terus memanggil dan memberitahu suaminya, Md Anuar Ghazali, 58, mengenai haiwan itu yang berada di dalam bilik berkenaan.

“Suami kata, kalau nak pukul takut pula ular senduk… kalau jadi apa-apa lagi bahaya, elok panggil bomba sebab mereka ada cara dan alat khas bagaimana hendak tangkap ular dengan selamat”ujarnya lagi.

Selain itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Fazli Mustafa berkata, pihaknya bergegas ke kediaman mangsa sebaik menerima panggilan pada jam 9.49 malam.

“Kami tiba sembilan minit kemudian dengan kekuatan seramai lima anggota dan sebuah jentera digerakkan ke lokasi bagi operasi khidmat khas menangkap reptilia ini” kata beliau.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira enam minit untuk menangkap ular sawa batik berukuran satu meter panjang yang bertindak agresif dan bersembunyi di bawah katil bilik” katanya.

“Ular ini berjaya ditangkap dengan menggunakan alatan khas penyepit dan penjerut ular” katanya lagi.

Jelasnya, haiwan itu dipercayai masuk ke dalam bilik tidur melalui sistem saliran bilik air yang terletak dalam bilik sama.

“Kemungkinan ular ini masuk ke dalam kediaman melalui salur air buang bilik air untuk mencari tempat bersembunyi berikutan keadaan musim hujan sekarang ini” katanya.

“Ular sawa batik yang ditangkap ini kemudiannya dilepaskan semula ke habitat semula jadinya di kawasan hutan bersebelahan Jalan Terusan Air Utama” katanya lagi.

-pru14.tv-

Comments

Share This:



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...