Datuk Zamri Man berkata dakwaan sekumpulan remaja menyatakan Majlis Bandaraya Ipoh meluluskan permohonan mereka untuk memanjat papan tanda di Jalan Kuala Kangsar itu palsu.
VIDEO INSIDE
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk memanjat papan tanda “Ipoh” daripada mana-mana pihak, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man.
Beliau berkata dakwaan sekumpulan remaja yang MBI meluluskan permohonan mereka untuk memanjat papan tanda di Jalan Kuala Kangsar itu satu penipuan.
“Saya sudah semak, tidak ada satu kelulusan pun yang diberi semua ketua jabatan termasuk MBI. Sekiranya ada yang buat permohonan pun kita tidak akan benarkan,” katanya kepada pemberita pada sambutan ambang tahun baru dan majlis pelancaran Tahun Melawat Perak 2017 di sini malam tadi.
Gambar memanjat itu menjadi viral sejak 4 hari lalu antaranya di laman sosial Instagram dan YouTube menunjukkan sekumpulan remaja lelaki serta perempuan memanjat papan tanda dengan ketinggian lebih 20 meter itu.
Selain itu, kumpulan remaja berkenaan juga merakamkan aksi baring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut.
Zamri berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan kebenaran kepada orang awam untuk memasuki kawasan tersebut mahupun memanjat papan tanda itu kecuali kepada kontraktor penyelenggara.
“Kontraktor yang melakukan kerja selenggara pun kita pastikan mereka mengikut ciri keselamatan yang lengkap dengan memakai tali keselamatan selain menggunakan kren,” katanya.
Beliau berkata aksi remaja terbabit dengan baring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut boleh dikategorikan sebagai vandalisme.
“Kerangka tiang papan tanda itu boleh rosak dan menimpa pengguna jalan raya kerana struktur yang didirikan itu bukan untuk menampung beban tambahan seperti berat individu,” katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan berjumpa dengan sekumpulan remaja terbabit, Zamri berkata kemungkinan pihaknya akan berjumpa dengan mereka dan pada masa yang sama meminta pihak polis menjalankan siasatan.
Pihak MBI membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 12.45 malam tadi.
Comments
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini