Ketua Unit Penerangan Solidariti Rukun Negara (Suara), Amir Mukhtar berkata, meskipun pemilikan tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, perkara itu tetap perlu dirujuk kepada Majlis Tanah Negara (MTN) sebagai penasihat bagi pindaan pemilikan tanah.
Selain itu katanya, kerajaan negeri tetap tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung tersebut kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Setelah semakan dengan pihak Majlis Tanah Negara (MTN), Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baru telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau ‘leasehold’ bagi Kampung-Kampung Baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun. Ini sudah mencukupi dan jika dinaikkan lebih daripada itu pada saya sudah keterlaluan.
“Meskipun perkara ini salah satu dari manifesto PH, janganlah sehingga mengganggu Perlembagaan Persekutuan, seharusnya Kor Ming mengikut prinsip Perdana Menteri yang mengatakan ‘Buku Harapan bukan kitab Suci’ yang mana tak semua janji wajib ditunaikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Kor Ming menegaskan, DAP Perak tetap mahukan kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Menurut Kor Ming, kuasa untuk meminda perkara hal ehwal tanah adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).
Mengulas lanjut, Amir berkata, keluhuran Perlembagaan merupakan salah satu dari sifat Rukun Negara yang harus ditaati rakyat Malaysia.
“Kami di Suara meminta supaya (YB) Yang Berhormat Nga Kor Ming menimbang kira semula permintaan ini memandangkan YB juga berasal dari negeri Kelantan dan sepatutnya lebih faham soal sensitiviti pemilikan tanah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE