Selama 30 tahun berada di dalam bidang seni, akhirnya pelakon Delimawati Ismail, terkejut apabila dipilih peminat sebagai calon Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32.
BACA : Senarai Penuh Calon ‘Top 5’ ABPBH Ke-32, Blackpink & BTS Turut Tersenarai
Pelakon berusia 61 tahun yang lebih dikenali sebagai Kak Limah tidak menyangka tersenarai di dalam pilihan peminat seni hiburan buat pertama kali selepas bergelar insan seni.
“Ketika pihak penganjur menghubungi saya untuk mengundang ke majlis pengumuman Top 5 ABPBH 32, saya memang sangat terkejut. Apatah lagi inilah kali pertama nama saya dicalonkan dalam anugerah anjuran akhbar BH ini.
“Saya memang tak sangka, maklumlah sudah berumur. Takut juga melihat saingan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Mereka semuanya muda,” – jelas Delimawati kepada Berita Harian.
Delimawati menjelaskan ini semua kerana peminat Hantu Kak Limah daripada pelbagai peringkat usia, dan menyimpan sedikit harapan untuk menggenggam trofi kategori itu.
“Siapa yang tidak mengharap? Apabila sudah dicalonkan, pastinya kita mahu menang. Apatah lagi semua orang tahu, bukan mudah nak layak ke peringkat Top 5. Rasanya, sudah tiba masa saya menang,” – Delimawati.
Delimawati akui impak watak Kak Limah dalam karya arahan Mamat Khalid sangat kuat, membolehkannya diterima ramai sehingga kini.
Delimawati akan bertanding dalam Kategori Pelakon Filem Wanita Popular bersama dengan artis wanita lain iaitu Erra Fazira, Hannah Delisha, Mira Filzah, dan Uqasha Senrose.