FMT menyorot beberapa babak peristiwa penting sepanjang tahun 2016
KUALA LUMPUR: Tahun 2016 menjadi latar kepada pelbagai peristiwa. Di peringkat antarabangsa, sejumlah selebriti meninggal dunia, termasuk pemuzik David Bowie, penyanyi Prince dan George Michael, dan peninju Muhammad Ali.
Di Amerika Syarikat, kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden mengejutkan dunia, manakala di Filipina, Presiden Rodrigo Duterte terus mendapat perhatian lantaran dasar dalam dan luar negara yang dianggap kontroversi.
Di Malaysia pula, tidak kurang peristiwa penting di sepanjang 2016. Sama ada politik mahupun arena lain, semuanya berkisar pada apa yang keluar dan apa yang masuk.
YANG KELUAR
Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Siti Hasmah Ali, umum keluar Umno pada 19 Februari. Ini kali ketiga beliau berada di luar parti yang pernah dipimpinnya selepas dipecat pada 1969 dan keluar pada 2008.
YANG KELUAR
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada Umno pada 24 Jun. Pada 4 Julai, Datuk Seri Shafie Apdal pula mengumumkan keluar Umno selepas keahliannya digantung.
YANG MASUK
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan pada 8 September, dikepalai Dr Mahathir dan Muhyiddin. Shafie pula menubuhkan Parti Warisan Sabah pada 17 Oktober.
YANG KELUAR
Naib Presiden PKR Darell Leiking keluar parti pada 22 September, diikuti Pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin dan Setiausaha DAP Sabah Junz Wong pada 2 Oktober.
YANG MASUK
Lajim menubuhkan parti sendiri, Parti Harapan Rakyat Sabah pada 25 Oktober. Darell dan Junz pula menyertai Warisan.
YANG MASUK
Pada 9 Januari, Pakatan Harapan ditubuhkan dan terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. Gabungan itu turut memeterai perjanjian kerjasama dengan PPBM pada 13 Disember.
YANG KELUAR
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melepaskan jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 22 Januari, selepas mengemudi badan itu selama 7 tahun.
YANG MASUK
Datuk Seri Hashim Abdullah dilantik menjadi pengerusi SPR 2 hari kemudian (24 Januari).
YANG KELUAR
Mukhriz melepaskan jawatan menteri besar Kedah pada 3 Februari.
YANG MASUK
Keesokannya (4 Februari), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.
YANG MASUK
Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 mula berkuatkuasa 1 Ogos, meskipun Majlis Raja-Raja meminta ia diperhalusi semula.
YANG KELUAR MASUK?
Sejumlah aktivis ditahan polis sepanjang 2016.
Bermula dengan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khairul Nizam Abd Ghani atau “Aduka Taruna” yang direman selama 3 hari pada 8 Januari, ekoran tulisannya di Facebook.
Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin ditahan 24 jam di bawah Akta Hasutan pada 4 April, berhubung artikel yang disiarkan di beberapa portal yang diolah daripada tulisan asal di FMT.
Kartunis Zunar, nama sebenar Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, ditahan polis sebanyak 2 kali. Pada 26 November, beliau direman sehari selepas mengadakan pameran di Pulau Pinang, dan pada 17 Disember disoal siasat selama 6 jam selepas ditahan ketika menghadiri satu majlis amal di Kuala Lumpur.
Aktivis muda Sabah, Jufazli Shi Ahmad, ditahan reman di Kuala Lumpur pada 9 November sebelum dihantar pulang ke Sabah 2 hari kemudian.
Sehari sebelum himpunan Bersih 5 yang diadakan pada 19 November, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah ditahan 10 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. Ketua gerakan Baju Merah Datuk Jamal Md Yunos pula ditahan 4 hari.
Keesokannya (19 November), beberapa ahli politik dan aktivis direman 2 hari semasa Bersih 5 dan himpunan Merah berlangsung, antaranya aktivis Hishamuddin Rais, Adun Pasir Pinji Howard Lee Chuan How dan Exco Pemuda Umno Datuk Armand Abu Hanifah.
Pada 30 November, seramai 47 Orang Asli direman 2 hingga 3 hari selepas membuat sekatan anti-pembalakan di Pos Petei, Gua Musang, Kelantan.
Pada 23 Disember, aktivis alam sekitar Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil dan Norhayati Shahrom direman 3 hari kerana dituduh menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ekoran komen mengenai penebangan hutan di Facebook.
Tentera Israel menahan aktivis Dr Fauziah Mohd Hassan selama 5 hari bermula 5 Oktober, ketika beliau menyertai misi kemanusiaan “Women’s Boat to Gaza”.
YANG KELUAR
Dr Mahathir bukan lagi penasihat Petronas (ditamatkan pada 11 Mac), pengerusi Proton serta canselor Universiti Teknologi Petronas (pada 31 Mac).
YANG KELUAR
Ratu skuasy Datuk Nicole David tewas kejohanan dunia buat pertama kali sejak 9 tahun, apabila tersingkir di tangan Nour El Sherbini dari Mesir pada suku akhir Kejohanan Skuasy Wanita Piala Dunia Naza PSA, 29 April.
YANG KELUAR
Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menamatkan khidmat 16 tahun pada 30 April.
YANG MASUK
Datuk Muhammad Ibrahim memulakan tugas sebagai gabenor baru BNM sehari kemudian (1 Mei).
YANG KELUAR
Pada 6 Mei, Datuk Husam Musa dipecat daripada PAS kerana mengkritik kepimpinan parti.
YANG MASUK
Selepas 4 bulan, Husam pada 30 Ogos umum sertai Amanah.
YANG KELUAR
Lesen operasi penerbangan patuh syariah Rayani Air ditarik balik pada 13 Jun akibat masalah kewangan.
YANG KELUAR
Sebaik sebelum rombakan jemaah menteri pada 27 Jun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan kedua, dan disusuli dengan semua jawatan dalam Umno.
YANG KELUAR
Pada 14 Julai, 4 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Kunanlan Subramaniam, Mohd Amirul Hadi Zainal, Mohammad Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak bersara daripada skuad kebangsaan.
YANG KELUAR
Pada 29 Julai, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan 2 timbalannya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Datuk Seri Mustafar Ali menamatkan khidmat mereka, di sebalik kehangatan siasatan berkait 1MDB.
YANG MASUK
2 hari kemudian (1 Ogos), Datuk Dzulkifli Ahmad daripada Jabatan Peguam Negara dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM.
YANG KELUAR
PKR memecat Badrul Hisham Shaharin atau “Chegubard” kerana melanggar disiplin parti, pada 2 Ogos.
YANG MASUK
Bekas pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin dilantik Mursyidul Am PAS pada 9 Oktober, selepas kematian Datuk Haron Din kira-kira 3 minggu sebelumnya.
YANG KELUAR
Datuk Kamil Othman menamatkan kontrak sebagai Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 10 November, walaupun sekumpulan pelakon dan pengarah berkempen ia dilanjutkan. Beliau digantikan Datuk Fauzi Ayob.
YANG MASUK
LRT Kelana Jaya-Putra Heights mula beroperasi pada 30 Jun, diikuti dengan MRT Sungai Buloh-Kajang (Fasa 1) pada 1 Disember dengan 12 stesen.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini