Meskipun suatu ketika dahulu namanya terpalit dengan kontroversi, namun Saiful Bukhari Azlan kini bahagia di samping isterinya, Nik Suryani Megat Deraman.
Ketika membuka gerai menjual pakaian dan songket sempena perhimpunan agung Umno, Saiful bersama isterinya ramah melayan tetamu yang mengunjungi gerainya.
Pada masa yang sama, Saiful juga kelihatan tenang dan tidak kekok untuk bertemu media yang tidak putus ke gerainya untuk mendapatkan perkembangan terbarunya.
Kini, mereka telah dua tahun menceburi perniagaan songket, batik, pakaian dan aksesori wanita selain memiliki syarikat perunding media dan politik.
Saiful, 30, menyatakan bahawa perniagaannya kini telah berkembang ke seluruh negara apabila mereka turut menjual pakaian secara online.
“Kita berpusat di Terengganu dan Kuala Lumpur. Kami mempunyai kedai di Terengganu dan turut menjual secara online dan penghantaran ke seluruh dunia” katanya.
“Pakaian ini kita reka sendiri, songket pula buatan tangan” katanya lagi.
Jelasnya, perniagaan bersama isterinya itu tercetus setelah isterinya berminat untuk terlibat secara serius dalam bidang perniagaan.
Isterinya, Nik Suryani, berusia 36 tahun, yang setia di sisi Saiful dan sentiasa tersenyum pula, memberitahu beliau kini menanti anak kedua yang dijangka lahir pada Mac tahun depan.
“Ya, dijangka lahir pada Mac. Sudah enam bulan dan ini anak kedua kami dan ia bayi lelaki,” katanya tersenyum sambil memberitahu mereka turut mempunyai seorang cahaya mata lelaki berusia dua tahun.
Ketika ditanya mengenai harga pakaian yang dijual, Nik Suryani yang pernah bekerja di sebuah stesen televisyen swasta memberitahu harga setiap pakaian antara RM128 hingga RM18,000.
“Songket ini buatan tangan dan ia eksklusif hanya ada satu sahaja. Songket ada dua jenis, kain cotton dan sutera. Bagi songket kain cotton harga dalam RM700 hingga RM3,000” ujarnya.
“Kalau sutera harganya dari RM3,000 ke RM18,000. Untuk baju pula harganya dari RM128-RM258 dan skirt harganya dari RM158-258” ujarnya lagi.
-pru14.tv-
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini