Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bersama jentera Barisan Nasional (BN) sudah pun bersedia untuk merampas kembali kerusi Parlimen berkenaan daripada Nurul Izzah Anwar, anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ketika ini diri beliau dan BN mempunyai peluang untuk menang memandangkan banyak senario sudah berubah khususnya konflik dalam pakatan pembangkang khususnya PKR.
“Saya rasa peluang itu berbeza dengan PRU13 kerana banyak senario sudah berubah, satu, perpecahan dalam PKR… Secara umumnya saya nampak ada positifnya, tambahan Nurul Izzah pun jarang turun padang, tahun depan apabila dekat pilihan raya dia turun,” katanya kepada pru14.tv dalam satu temubual hari ini.
Raja Nong Chik ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung sejak 29 November lepas hingga 3 Disember nanti.
Beliau berkata ketika ini Nurul Izzah banyak mengamalkan cara politik ‘punch-card’ hanya nampak seperti dekat dengan rakyat tetapi sebenarnya tidak turun padang pun bertemu dengan para pengundi.
“Sekarang dia (Nurul Izzah) banyak buat politik ‘punch-card’ seolah-olah dia turun tetapi sebenarnya hanya viral sahaja,” katanya.
Raja Nong Chik yang juga bekas Menteri penuh sebelum ini berkata yang penting sekarang bagaimana BN Lembah Pantai hendak menawan hati para pengundi di atas pagar.
“Pengundi yang komited pada kita (BN) saya rasa bertambah tetapi pengundi atas pagar ini lebih terpengaruh dari segi sentimen nasional dan mungkin sentimen tempatan seperti yang saya kena dululah, isu tanah di Bukit Kiara.
“Pada masa itu saya Menteri, sekarang mungkin isu susah hendak digunakan kerana saya sudah tiada kuasa lagi,” katanya.
Menyentuh berkenaan kewujudan banyak parti serpihan seperti PPBM dan PAN, beliau berkata rakyat perlu meneliti pilihan yang ada dan membuat secara jelas berdasarkan asas perjuangan sesebuah parti yang berteraskan rakyat atau kuasa politik semata-mata.
Raja Nong Chik menyifatkan, UMNO berjuang berteraskan semangat dan perpaduan orang Melayu berlainan dengan PPBM dan PAN yang bertunjangkan DAP semata-mata.
“Rakyat hendak pilih kerajaan mana? kerajaan yang dipimpin atau tulang belakang atau terasnya adalah UMNO ataupun teras dia adalah DAP…. kalau formulanya, kalaupun pakatan menang, walaupun ada PPBM ada PKR dan PAN, parti yang menjadi teras tetap DAP,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas, Raja Nong Chik tewas kepada Nurul Izzah dari PKR dengan majoriti 1,847. Nuru Izzah mendapat 31,008 undi, Raja Nong Chik mendapat 29,161 undi dan calon Bebas Rusli Baba mendapat 167 undi. – pru14.tv
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini