Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee membidas kenyataan seorang pemimpin pembangkang bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 sebagai gelanggang memuji Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau mempertahakan para Perwakilan UMNO yang tidak menzahirkan pujian kalau ia tidak berasas sebaliknya pujian diberikan dari hati Perwakilan yang benar-benar ikhlas.
“Tidak salah bagi mereka untuk menzahirkan penghargaan dan pujian kerana Najib yang juga Presiden UMNO yang telah terbukti berjaya membawa satu anjakan pembaharuan kepada parti dan pentadbiran negara,” tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Syed Ali turut membidas pembangkang yang dilihat lebih obses dengan pemimpin mereka sehingga terlalu diagung-agungkan sehingga tidak mampu lagi membezakan yang mana perbuatan baik dan yang mana perbuatan buruk.
Bukannya kita tidak tahu bagaimana DAP dan PKR mempertahankan pemimpin mereka yang sudah disabitkan dengan kesalahan jenayah antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara akibat kesalahan liwat dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.
“Pembangkang lagi teruk, sanjung seseorang pemimpin keterlaluan dan secara membabi-buta sehingga tidak boleh disentuh.
“Tuduhan pembangkang itu sebagai tidak berasas dan sekadar menumpang populariti ketika melihat kesepakatan dan perpaduan UMNO pada Perhimpunan Agung kali ini.
“Perhimpunan Agung UMNO diadakan setahun sekali, maka adalah munasabah dan beradab untuk ahli-ahli UMNO menzahirkan sanjungan kepada ketua (Presiden) mereka,” ujarnya dalam blognya itu.
Pembangkang tambah beliau, mula terasa tidak tenteraam apabila melihat kesepakatan ahli-ahli UMNO terhadap kepimpinan Najib yang diterjemahkan dengan lautan ‘gelombang biru’.
Seorang pemimpin kanan parti pembangkang menerusi sebuah portal berita menuduh Perhimpunan Agung UMNO kali ini sebagai gelanggang perwakilan dan ketiga-tiga sayap parti melontarkan pujian dan mengampu Najib.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memberitahu, ucapan dasar presiden parti semalam merupakan amanat dan ingatan yang cukup relevan kepada ahli parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Katanya, dalam ucapannya tersebut, Najib telah memberi bayangan bahawa PRU-14 semakin hampir dan kemungkinan akan berlaku bila-bila masa mulai sekarang.
“Walaupun Najib tidak menyatakan secara terus-terang, tetapi bayangan tersebut telah memberi isyarat kepada seluruh kepimpinan parti dan ahli-ahli di peringkat akar umbi supaya meningkatkan persedian bagi berdepan dengan pembangkang.
Kata beliau lagi, Najib telah memberi bayangan dan seluruh jentera parti peru bersiap sedia untuk bertempur dengan pihak lawan .
“PRU14 adalah pertarungan hidup mati UMNO, kita kena menentang mereka (pembangkang) habis-habisan.
“Kita perlu gunakan segala yang ada bagi memastikan UMNO terus kekal utuh dan memenangi plihan raya dengan lebih cemerlang,” katanya.
Justeru itu katanya, ahli-ahli UMNO perlu menguatkan perpaduan dan melakukan gerak kerja secara bersepadu termasuk mengetepikan sentimen peribadi menjelang PRU yang semakin hampir.
“Sepertimana pesanan Presiden UMNO bahawa parti ini adalah untuk masa depan anak cucu kita, maka kita perlu berjuang dengan segala keringat yang ada bagi memastikan orang Melayu terus terbela,” tegasnya. – pru14.tv
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini