Perhimpunan Agung UMNO 2016 hanya berbaki sehari sahaja lagi sebelum menutup tirainya secara rasmi. Perhimpunan yang menghimpunkan ramai pemimpin utama UMNO kali ini, sehingga kini boleh dianggap berjaya dan cukup licin perjalanannya berbanding tahun lalu.
Menariknya, sepanjang perhimpunan ini, banyak diperkatakan tentang pentingnya perpaduan Ummah disaat umat Islam di negara ini berhadapan dengan cabaran yang cukup hebat. Malah, kaum Melayu sendiri dilihat sudah berpecah belah dan semakin hilang kesepakatan antaara kaum Melayu hanya disebabkan oleh idealogi politik.
Mengambil kira ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menyeru semua pihak terutamanya PAS untuk kembali kepada fitrah penyatuan Ummah, timbul persoalan, adakah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini?
Ketika menemui beberapa orang perwakilan yang hadir, tidak dapat disembunyikan bahawa ramai yang menaruh harapan Datuk Seri Abdul Hadi dapat hadir walaupun seketika pada perhimpunan ini. Menurut beberapa orang perwakilan, ia menunjukkan bahawa seruan perpaduan Ummah yang dilaungkan oleh Presiden UMNO disambut dan bakal menjadi kenyataan andai beliau sudi menghadirkan diri.
Diakui bahawa UMNO dan PAS sememangnya berlainan idealogi. Namun andai mengambil kira perpaduan Ummah, ianya bukan suatu yang mustahil untuk menyaksikan kehadiran Datuk Seri Abdul Hadi ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
Jika ianya berlaku, ianya adalah kali pertama sejak berpuluh tahun yang lalu, seorang Presiden PAS akhirnya sudi menghadirkan diri ke PAU dan sudah semestinya, ia adalah isyarat jelas bahawa UMNO dan PAS memilih untuk mengutamakan perpaduan Ummah berbanding mengutamakan kepentingan politik semata-mata.
Ditambah pula dengan komitmen yang telah dinyatakan oleh Datuk Seri Mohd Najib yang akan hadir pada Himpunan Solidariti Rohingya, 4 Disember nanti yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kemungkinan untuk menyaksikan dua pemimpin utama kaum Melayu ini akhirnya bertemu di PAU 2016 akan menjadi kenyataan.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini