Get $25 free
loading...

Islam dalam media sepanjang 2016

Dari Aleppo ke Rakhine, burkini di Perancis ke isu halal di Malaysia, semuanya dikaitkan dengan Islam dan menimbulkan pelbagai reaksi.

calender

KUALA LUMPUR: Seperti tahun sebelumnya, Islam sekali lagi menjadi tema berita sepanjang 2016, sama ada dengan nada negatif mahupun positif, dalam dan luar negara.

Ini antara isu sepanjang 2016.

Burkini dan hijab

Ogos lalu, seorang wanita yang memakai burkini (pakaian mandi yang menutup aurat) di Nice, Perancis, berdepan dengan pemeriksaan polis dan dipaksa membuka sebahagian pakaiannya. Gambar insiden itu mengundang reaksi dunia Islam termasuk Malaysia.

Pada 1 September, mahkamah Perancis menggantung larangan burkini atas asas hak asasi iaitu kebebasan beragama.

Lain pula di Iran. Kontroversi timbul apabila semua peserta Kejohanan Catur Wanita Sedunia diarahkan menutup rambut mereka. Sejumlah pemain dunia menggesa boikot, menyebabkan kebimbangan pemain catur Iran, Mitra Hejazipour yang juga mengkritiknya.

Syria, Myanmar, Palestin

Konflik Syria berterusan, melibatkan kuasa serantau seperti Turki, Iran dan Arab Saudi, dan kuasa besar Amerika Syarikat dan Rusia – turun padang berdasarkan kepentingan mereka. Militan IS terus menjadi tumpuan, menawan beberapa kawasan, juga tewas di beberapa tempat termasuk Aleppo pada hujung tahun.

Lebih hampir, di Myanmar, penduduk Rohingya menjadi sasaran sekali lagi, seperti etnik minoriti lain yang bukan Buddha, Karen dan Chin. Ia turut diwarnai politik tempatan di Malaysia, apabila Himpunan Solidariti Ummah sekali lagi menemukan PAS dan Umno di pentas sama.

Amerika Syarikat tidak menggunakan kuasa veto menghalang resolusi menuntut Israel menghentikan penempatan haram, menerima pujian ramai di ambang Washington bakal diambil alih Donald Trump.

Trump

Kebangkitan golongan kanan di dunia Barat – Donald Trump di Amerika Syarikat, Le Pen di Perancis – turut menjadikan masyarakat Islam tumpuan media, seperti mana golongan minoriti lain seperti LGBT.

Syariah

Di Malaysia, Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) menjadi isu berkaitan Islam yang paling diperkatakan. Sekali lagi, hak Islam, status Islam dan siapa yang mendefinisikan Islam, menjadi tajuk perdebatan.

Halal, kafir, tukar agama

Barangkali perbincangan mengenai Islam di Malaysia tidak lengkap tanpa isu halal. Isu Pretzel Dog, dan yang paling baru, isu kek halal di McDonald’s. Dalam semua ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan sijil halalnya menjadi tumpuan.

Kafir harbi, istilah lama, mendapat nafas baharu di Malaysia selepas mufti Pahang dilaporkan berkata mereka yang mempersoalkan pelaksanaan hudud wajib diperangi.

Penukaran agama anak secara sebelah pihak mungkin berterusan atau mungkin tamat, semuanya bergantung pada sejauh mana Pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 memberi kesan.

Syiah dan Sunni

Lawatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke sebuah perhimpunan di Tehran bulan ini dikaitkan dengan konflik Syria, seterusnya membuka sekali lagi debat Sunni-Syiah di kalangan sesetengah agamawan di Malaysia.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...