MENTERI Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Umno negeri akan memandu BN Terengganu untuk mencetuskan gelombang biru yang lebih hebat di negeri yang kaya dengan hasil minyak dan produk pelancungan yang luar biasa.
Mereka akan bekerja keras untuk memastikan BN terus memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Dengan hanya kelebihan dua kerusi berbanding pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri, BN sedar dan insaf yang mereka perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan selesa dapat dicapai pada PRU14 akan datang.
Negeri yang sinonim dengan “Terengganu Molek Doh” itu telah bekerja keras memastikan aspirasi dan hasrat rakyat Terengganu menjadi kenyataan. Melalui konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB), negeri tersebut mengorak langkah yang mantap dan kemas dalam semua aspek.
Pelaksanaan konsep ini mengambil kira aspek yang merangkumi tiga bidang utama dalam TTB iaitu Transformasi Ekonomi, Transformasi Kerajaan dan Tranformasi Politik selain lapan prinsip asas tiga bidang berkenaan iaitu:-
1. Inklusif, Suara Rakyat Suara Keramat
Meraikan suara rakyat sebagai input dalam membangunkan negeri. Mendengar dan memahami permasalahan rakyat serta membangunkan negeri mengikut acuan yang diperlukan rakyat bukannya kehendak pemimpin.
2. Masjid dan Surau Sebagai Sumber Penyatuan
Memperluaskan lagi fungsi masjid sebagai sumber penyatuan masyarakat dan mengangkat institusi masjid sebagai tempat saranan pembinaan ummah.
3. Keluarga Bahagia Rakyat Sejahtera
Menggalakkan usaha menyubur pembinaan keluarga yang bahagia sebagai asas kesejahteraan rakyat. Institusi kekeluargaan adalah unit terpenting dalam pembinaan setiap masyarakat.
4. Integriti, Bersih Dalaman Dan Luaran
Kebersihan dan persekitaran luaran melambangkan budaya rakyat Terengganu. Kebersihan dalaman pula bermaksud bersih dari sebarang bentuk gejala seperti rasuah, penyelewengan dan ketirisan.
5. Mesra Tapi Tegas
Senyuman dan tegur sapa memecah tembok persepsi yang menghalang hubungan baik sesama manusia. Ia perlu lebih banyak senyum dan bertegur sapa.
6. Disiplin Kerja Yang Tinggi
Disiplin sangat penting untuk pertumbuhan organisasi dan menekankan soal konsisten atau kegigihan dan istiqamah. Keperibadian dalam komunikasi dapat meningkatkan imej dan keyakinan kita serta kebolehpercayaan orang lain kepada kita. Disiplin kerja yang tinggi merupakan salah satu penanda aras mengukur pencapaian prestasi dan produktiviti kerja seseorang.
7. Seruan Perpaduan
Fokus kepada usaha memperkukuhkan perpaduan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negeri dan negara. Rakyat perlu bersangka baik terhadap seruan berbaik-baik sesama kita dan pelbagai program serta usaha akan dilaksanakan bagi tujuan mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.
8. Memperkasa Pendidikan
Uniknya Terengganu ini atau lebih tepat betapa bertuahnya rakyat Terengganu ini memandangkan mereka bukan sahaja menikmati imbuhan yang banyak dari kerajaan Persekutuan, malah Ahmad Razif memastikan rakyat Terengganu turut mendapat ganjaran yang lebih banyak lagi dari kerajaan negeri sendiri.
Setiap lapisan masyarakat negeri tersebut menikmati bahagian masing-masing. Tidak ada seorang pun yang terkecuali dari menikmati kemakmuran Terengganu. Sebagai contoh, selain dari bantuan BR1M dari kerajaan pusat, rakyat Terengganu turut menikmati Dana TTB Terengganu, Dana TTB Bantuan Sekolah, Bantuan Untuk Rakyat 1 Terengganu, Bantuan Rakyat Hari Raya, Skim Khas RTB (Tapak Rumah), Dana Bakti Remaja TOM, iDANATTB Bantuan Rakyat Terengganu dan lain-lain lagi.
Dengan kata lain, rakyat Terengganu telah ditatang bagaikan minyak yang penuh. Kini gelombang biru yang lebih hebat pula akan dibawa khas untuk rakyat negeri tersebut bersama semangat dan sokongan yang padu dari rakyat buat kerajaan Barisan Nasional.
– pru14.tv
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini