Jentera siber untuk menyerang pembangkang perlu proaktif menangkis sebarang persepsi negatif terhadap kerajaan dan parti terutamanya yang boleh menjurus kepada pembunuhan karakter pemimpin yang giat dijalankan pihak-pihak tertentu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan kerja-kerja Timbalan Presiden berkata perkara itu penting supaya persepsi buruk dapat diurus dengan baik. Ia juga dapat dihentikan dari menguasai pemikiran rakyat.
“Pendapat umum serta menggunakan media bagi mempengaruhi sokongan orang awam lebih berkuasa berbanding dengan mahkamah yang ada perundangan (dan) jika persepsi dan penggunaan media ini tak diatasi, maka kita akan tenggelam.
“Tenggelamnya beberapa tokoh politik dunia, tenggelamnya beberapa parti politik ternama adalah kerana persepsi tidak diurus dengan sebaik-baiknya,”katanya semasa melancarkan Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid berkata masyarakat ketika ini cenderung mempercayai berita palsu, malah mampu menerima berita itu dengan baik.
Kira-kira 5,000 orang hari ini hadir dalam konvensyen berkenaan menjadikan keadaan di PWTC sesak dengan jentera siber alam maya Umno yang setia mempertahankan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum Ahmad Zahid, Ketua Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyampaikan amanat awal pada kira-kira pukul 9.30 pagi menceritakan tentang suasana perang politik dalam media sosial. Menurut beliau, pemimpin paling tinggi dalam Pakatan Harapan (PH) ialah Lim Kit Siang bukannya Pengerusi PPBM, Mahathir Mohamad.
Selain itu, beliau berkata sudah sampai masanya kumpulan jentera alam maya BN menang dalam perang siber menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti dan bukannya masa untuk bertahan.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini